PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru berusia setahun jagung bergolak, menyaksikan Ahli Pimpinan Tertingginya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan empat yang lain dipecat kerana didakwa melanggar perlembagaan dan etika parti.
Bekas Ketua Pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal pula digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Menurut kenyataan Lembaga Disiplin Bersatu, empat ahli lain yang dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris dari Bahagian Hang Tuah Jaya, Melaka; Mohd Faizal Asmar (Pengerang, Johor); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur; Perak) dan Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang, Selangor.
“Lembaga Disiplin Bersatu telah menerima aduan bertulis daripada ahli Bersatu terhadap responden-responden berikut (tersebut) berhubung pelanggaran peruntukan Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.
“Sehubungan itu, Lembaga Disiplin telah mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden-responden untuk satu sesi pendengaran pada 8 Oktober 2025 dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu berkata, mereka yang telah dijatuhi hukuman tersebut berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.
Katanya, Lembaga Disiplin telah membuat keputusan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas, dan tidak berat sebelah.
“Lembaga Disiplin sentiasa bertindak secara telus, adil, dan berlandaskan Perlembagaan parti,” katanya.
Lembaga Disiplin juga menyeru semua ahli Bersatu agar mematuhi Perlembagaan dan Peraturan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli demi menjaga nama baik parti.
Bulan lalu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa Datuk Seri Azmin Ali tidak layak untuk menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video tular yang didakwa membabitkan dirinya pada 2019 belum diselesaikan.
Memetik laporan media, meskipun mengakui menerima pelantikan Azmin sebagai Setiausaha Agung parti itu ketika diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden, Wan Saiful berkata situasi itu berubah selepas beliau menerima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik terhadap video membabitkan Azmin di Sandakan itu sebagai tulen. — Edisi 9

