KERAJAAN Negeri Pahang menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas perhatian dan keprihatinan besar yang diberikan kepada negeri itu menerusi pembentangan Belanjawan 2026 hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan yang disalurkan melalui pelbagai kementerian dan agensi Persekutuan membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negara, termasuk di Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang amat menghargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang terus memberi tumpuan kepada projek pembangunan rakyat, khususnya di luar bandar.
“Ia mencerminkan semangat inklusif serta usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara projek dan inisiatif utama yang diumumkan khusus untuk Pahang termasuk menaik taraf Lebuh Raya Kuantan–Segamat di Rompin; pembinaan jambatan konkrit Jalan Serengkam ke Jalan Kuala Wau, Maran; pemajuan kawasan Kampung Bongsu, Temerloh dan menaik taraf Jalan Sungai Lembing dari Kampung Padang ke persimpangan LPT1, Kuantan.
Selain itu, turut diumumkan pembinaan Klinik Kesihatan lengkap dengan kuarters di Pos Lenjang, Lipis; pembinaan dan pembaikan jalan kampung melibatkan laluan Pos Lenjang ke Kampung Orang Asli Jernang Pos Titom, Lipis dan pembinaan jalan baharu di Kampung Orang Asli Sungai Mai, Jerantut.
Wan Rosdy berkata, projek lain termasuk penggantian paip usang menerusi Program Non-Revenue Water (NRW); naik taraf premis TABIKA di Kampung Kuala Terbol, Temerloh; penyediaan kemudahan khemah penjaja, peranti bunyi dan sistem QR untuk peniaga pasar malam Kuala Tahan, Jerantut serta program bimbingan keusahawanan banduan di Penjara Penor, Kuantan.
Tidak ketinggalan pembinaan Sekolah Kebangsaan Desa Damai, Bentong; pembinaan semula SJKT Ladang Jeram, Kuantan; pembinaan rumah keluarga anggota tentera di Pangkalan Udara Kuantan serta penyediaan kuarters untuk anggota Imigresen di Lipis.
Menurut Wan Rosdy, projek-projek tersebut mencakupi pelbagai aspek termasuk infrastruktur, pendidikan, keusahawanan, kemudahan sosial serta kebajikan masyarakat luar bandar dan komuniti Orang Asli.
Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri akan memastikan segala peruntukan yang diterima dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, telus dan berkesan agar manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat.
“Saya mewakili seluruh rakyat Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas kepercayaan serta sokongan berterusan kepada Negeri Pahang,” katanya. – Edisi 9

