Tuesday, July 21, 2026

Tarikh penting PRN Sabah ditetapkan 16 Oktober – SPR

SPR telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, semalam.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Oktober ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, semalam.

Beliau berkata, pemakluman disampaikan oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.

“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah – suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.

PRN Sabah Ke-16 pada 2020 menyaksikan GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.

Parti Warisan pula meraih 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.

GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tanpa penyertaan BN dan Pas.

Bagaimanapun, pada November tahun sama, Hajiji dan pemimpin Bersatu telah bertindak keluar daripada parti tersebut seterusnya menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebelum Bersatu kemudiannya digugurkan daripada GRS.

Pada Januari 2023, BN telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah yang ketika itu dipimpin GRS namun PH mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan negeri seterusnya mengekalkan kerajaan Sabah sedia ada dan Hajiji sebagai Ketua Menteri. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan