ASEAN diyakini mampu melonjak menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, ini dapat dilihat kedudukan ASEAN hari ini yang berdiri sebagai ekonomi kelima terbesar dengan perkongsian komprehensif ekonomi serantau (RCEP) serta perjanjian perdagangan yang terus dipertingkat.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya menekankan bahawa tonggak ekonomi kekal sebagai matlamat utama kita, memacu komuniti serantau yang bersepadu, berdaya saing dan berdaya tahan sejak penubuhan AEC (Komuniti Ekonomi ASEAN) pada 2015,” katanya.
Sebelum itu beliau menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-57 di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur malam tadi.
Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz dan perwakilan ASEAN.
Anwar berkata, ASEAN tidak boleh menjadi pemerhati pasif, sebaliknya mesti memimpin dengan mengukuhkan rantaian bekalan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, melabur dalam kelestarian serta merangkul inovasi.
Kata beliau, langkah bersejarah untuk mengadakan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN bulan depan akan memperkukuh kesepaduan dalam mendepani cabaran geopolitik dan geoekonomi.
Beliau berkata, Malaysia komited memastikan pertumbuhan inklusif yang tidak meninggalkan mana-mana negara anggota, menghargai peranan rakan dialog, dan menyambut keanggotaan Timor-Leste yang bakal memperkukuh perpaduan rantau.
“ASEAN bukan sekadar sebuah rantau, tetapi sebuah janji tentang potensi tanpa batas yang mesti kita buka bersama demi kesejahteraan rakyat, kerjasama rakan serantau dan masa depan generasi mendatang,” katanya. – Edisi 9

