SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah memberi peringatan bahawa keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu, Kuala Lumpur harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang.
Ini kerana, tegas baginda, Kampong Bharu yang terletak di tengah ibu negara merupakan simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900 lagi.
Titah baginda, Kampong Bharu juga memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.
“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.

Berikut kenyataan penuh Sultan Sharafuddin terkait isu pembangunan Kampong Bharu.
Beta ingin memberi pandangan berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Selepas membaca maklum balas daripada pelbagai pihak, Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira.
Kampong Bharu telah ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda Beta, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).
Beta ingin mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampong Bharu dan harus dipelihara.
Tragedi 13 Mei
Ini kerana Beta sendiri pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu, ketika ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.
Allahyarham ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampong Bharu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar.
Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampong Bharu menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada tahun 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang-orang Melayu. Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka.
Kini, Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hak milik Kerajaan Negeri Selangor.
Bukan itu sahaja, sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampong Bharu.
Lebih nostalgik, persefahaman pernah dicapai supaya Masjid Jamek Kampong Bharu yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor Keenam, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.
Sesungguhnya, Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900.
Justeru, Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampong Bharu memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.
Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang. — Edisi 9

