SEHINGGA kini belum ada sebarang pengumuman rasmi telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mahupun ketetapan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, poster yang memaparkan tarikh-tarikh penting bagi PRN Sabah seperti yang tular dalam media sosial adalah palsu dan tidak benar sama sekali.
“Pihak SPR juga ingin menegaskan bahawa maklumat mengenai pilihan raya termasuk tarikh-tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari mengundi hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR iaitu laman portal rasmi SPR, sidang media dan kenyataan media,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril menegaskan, penyebaran maklumat palsu seumpama itu merupakan suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang didapati menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan.
“SPR menyeru orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat yang tidak sahih.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih hanya daripada saluran rasmi SPR,” katanya. – Edisi 9

