MALAYSIA menawarkan jalan berbeza dalam menghadapi cabaran dunia dengan mengangkat konsep “kedaulatan dalam kebergantungan” iaitu berdiri teguh mempertahankan pendirian dan kedaulatan, namun terbuka kepada perdagangan, sumber dan teknologi demi kemakmuran bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia ketika ini sedang menyaksikan tatanan global yang kian goyah dengan perubahan peraturan dagangan serta kawalan eksport yang berlaku sewenang-wenangnya, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan negara.
“Dalam kekalutan itu, kita punya tanggungjawab untuk memastikan sejarah dan tatanan dunia masa hadapan ditulis dengan dakwat Asia agar ia lebih adil, lebih terangkum dan memberi peluang kepada semua,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin, pagi tadi.
Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail sedang mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke China.
Beliau yang diberi penghormatan menyampaikan syarahan di institusi berusia lebih 130 tahun itu turut menerima cenderamata berupa replika sijil diploma pertama yang dikurniakan sekitar tahun 1900.
Menurut Perdana Menteri, keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China pada 1974 merupakan langkah berani yang berlandaskan keyakinan pada masa depan.

“Setiap pertemuan saya dengan Presiden Xi Jinping mengukuhkan kefahaman bahawa meskipun berbeza dari segi saiz, kedua-dua negara mampu berdiri setara dengan penuh hormat dan keikhlasan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, daripada asas itulah lahir pelbagai bentuk kerjasama antara Malaysia dan China merangkumi projek infrastruktur yang menghubungkan ekonomi, kerjasama tenaga hijau dan ekonomi digital, selain kemudahan perjalanan rakyat kedua-dua negara.
Anwar berkata, semangat harmony without uniformity yang sudah lama berakar di Asia perlu dijadikan pedoman agar rantau ini kekal bermaruah dan tidak mudah dipecah-belahkan.
“Dari pelayaran Laksamana Zheng He hingga falsafah hé ér bù tóng, kita belajar bahawa tamadun mampu memperkayakan antara satu sama lain tanpa menghilangkan identiti. Kedaulatan dalam kebergantungan adalah terjemahan moden kepada semangat itu,” katanya.
Beliau menegaskan, Asia kini memikul amanah besar untuk memastikan aturan baharu ekonomi tidak membawa perpecahan, sebaliknya membina jambatan dan mengukuhkan kemakmuran bersama.
“Perpecahan bukan sesuatu yang ditakdirkan. Kita boleh memilih jambatan atau membina tembok, memilih kerjasama atau persaingan sempit,” tegasnya. – Edisi 9

