Friday, June 5, 2026

Sukar kumpul pemain terbaik, Malaysia tarik diri Piala CAFA

Kejohanan melibatkan pasukan Asia Tengah itu berlangsung di luar kalendar antarabangsa FIFA menyebabkan para pemain tidak mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing.

Mesti Baca

MALAYSIA menarik diri daripada menyertai kejohanan bola sepak Piala Negara-negara CAFA 2025 yang bakal berlangsung pada 29 Ogos hingga 8 September ini.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira perubahan jadual kejohanan yang berlangsung di luar kalendar rasmi FIFA sehingga sukar baginya mengumpul para pemain terbaik.

“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun. 

“Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.

“Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Malaysia diundi bersama pasukan ke-18 dunia, Iran dalam Kumpulan B pada kejohanan antarabangsa itu bersama tuan rumah, Tajikistan dan Afghanistan.

Negara lain yang terlibat ialah Uzbekistan, Republik Kyrgyz, Turkmenistan dan Oman.

Cklamovski berkata, sebagai sebuah pasukan kebangsaan yang berpandangan jauh dan strategik, setiap keputusan yang dibuat adalah berasaskan tanggungjawab terhadap kebajikan pemain, kerjasama erat bersama kelab, serta komitmen kepada kemajuan berterusan bola sepak negara.

“Walaupun pada awalnya kami amat berbesar hati dan teruja untuk menyertai kejohanan ini, perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang kini jatuh di luar jendela antarabangsa FIFA telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan,” katanya.

Tarikh baharu kejohanan yang dikemas kini selepas undian rasmi dilakukan, iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September, kini bermula di luar kalendar rasmi FIFA. 

Beliau berkata, perubahan tarikh yang berlaku pada saat akhir ini memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.

Sebelum ini skuad Harimau Malaya menolak  pelawaan Indonesia untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa pada September ini dengan alasan mereka mempunyai perancangan lebih baik.

Pestabola Merdeka yang sepatutnya dianjurkan tahun ini turut dibatalkan bagi memberi laluan kepada Harimau Malaya menyertai kejohanan Piala CAFA.

Dengan perkembangan terbaharu ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa mencari pasukan baharu untuk dijadikan lawan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum aksi Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Laos dan Nepal pada Oktober dan November ini. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan