Wednesday, July 22, 2026

46 anggota sertai misi bawa pulang EX-USCG Cutter Steadfast

Mereka merupakan kru pertama bagi kapal berkenaan yang bakal menjadi aset baharu Maritim Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara.

Mesti Baca

SERAMAI 46 anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan berlepas ke Baltimore, Amerika Syarikat esok bagi menjayakan misi penting membawa pulang kapal EX-USCG Cutter Steadfast ke tanah air.

Pasukan tersebut merupakan kru pertama bagi kapal berkenaan yang bakal menjadi aset baharu Maritim Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara khususnya di perairan Laut China Selatan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah menyifatkan misi tersebut sebagai lipatan sejarah yang membanggakan bukan sahaja kepada agensi tersebut, tetapi buat Malaysia keseluruhannya.

“Misi ini bukan sekadar pelayaran biasa. Ia simbol pengiktirafan antarabangsa kepada keupayaan dan profesionalisme Maritim Malaysia. Jaga nama baik negara, kekalkan integriti dan tunjukkan disiplin tinggi sepanjang anda semua berada di sana,” tegas beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kelulusan dalam proses penerimaan kapal milik US Coast Guard tersebut.

“Tanpa sokongan padu kerajaan, misi sebegini tidak akan menjadi kenyataan. Ini bukti bahawa kepimpinan negara sentiasa mendukung pengukuhan keselamatan maritim Malaysia,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim serta Pengarah-pengarah Bahagian Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Sementara itu, Mohd Rosli menyambut baik seruan Saifuddin Nasution yang mengharapkan penjawat awam mempunyai kompetensi dan kemahiran dalam menjalankan tugas.

Dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan semalam, beliau turut berharap mereka melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Mohd Rosli berkata, ia adalah perkara penting yang ditanamkan kepada diri setiap pegawai dan anggota Maritim Malaysia.

“Perkara tersebut perlu ada kepada setiap Penguat Kuasa Maritim Malaysia, ini kerana tanpa kompetensi dan kemahiran aset Agensi tidak dapat diuruskan dengan sebaiknya. 

“Manakala jika amanah tidak dijadikan teras utama, maka perairan negara akan dipenuhi dengan ancaman jenayah maritim sekaligus membahayakan kepada negara,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, seramai empat kru Maritim Malaysia telah berada di Baltimore sejak Mei lalu bagi menjalani latihan penyesuaian dan pemeriksaan teknikal ke atas kapal berkenaan sebagai persiapan awal sebelum pelayaran pulang.

Kapal EX-USCG Cutter Steadfast ini memiliki saiz 64.14 meter panjang dan 10 meter lebar, serta mampu mencapai kelajuan sehingga 18 knots. 

Kapal berkenaan dijangka akan tiba di Malaysia pada pertengahan November 2025 nanti. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan