PELAKSANAAN Sistem Alamat Nasional (NAS) bakal menjadi asas penting kepada kemajuan ekonomi digital negara serta transformasi perkhidmatan awam, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, inisiatif yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu hadir tepat pada masanya bagi menyelesaikan isu kepincangan data alamat negara yang selama ini mengganggu pelbagai urusan termasuk penghantaran, kecemasan dan perancangan utiliti.
“Malaysia mempunyai lebih 12 juta alamat, namun tiada satu entiti pun yang menyimpan data ini secara menyeluruh dan berpandukan piawaian sahih.
“Akibatnya, kita berdepan cabaran seperti kelewatan penghantaran, kegagalan respons kecemasan dan gangguan kepada e-dagang serta logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di Kuala Lumpur hari ini.
Fahmi berkata, NAS dibangunkan selaras dengan Seksyen 57 Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741] yang memberi kuasa kepada MCMC untuk mengurus sistem poskod dan pengalamatan di Malaysia.
Beliau berkata, ia juga telah dipersetujui secara dasar oleh Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Keempat (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Jun tahun lalu.
Jelas Fahmi, NAS merupakan sistem alamat berpusat, berpandukan piawaian MS2039 Jabatan Standard Malaysia, dan setiap alamat akan digeokod serta diberikan pengecam lokasi unik bagi memastikan keseragaman data merentas sektor.
“NAS bukan hanya menyusun alamat, tetapi akan mempercepatkan operasi menyelamat, memperkukuh logistik serta mengurangkan kesilapan penghantaran melalui pengecaman lokasi yang lebih tepat,” ujar beliau.
Beliau menambah, pelaksanaan NAS akan memberi manfaat besar kepada sektor e-dagang, kurier, utiliti, dan perancangan bandar melalui penggunaan data lokasi yang tepat dan boleh dipercayai.
Mengulas hasil dapatan awal Kajian Pelaksanaan NAS, Fahmi memaklumkan, inisiatif ini berpotensi membawa kesan limpahan ekonomi sehingga RM2 bilion serta mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Projek ini bukan sekadar transformasi teknologi, malah satu pelaburan ke arah kesejahteraan rakyat dan peningkatan produktiviti negara secara menyeluruh,” katanya lagi.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan NAS, beliau mengarahkan MCMC untuk melaksanakan Pelan Anjakan NAS bermula dengan projek perintis di lokasi terpilih yang mempunyai kepelbagaian landskap termasuk kawasan FELDA, rumah panjang, rumah atas air dan perkampungan tradisional.
Fahmi turut menzahirkan harapan agar NAS dapat diterima pakai oleh semua agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat utiliti, dan industri swasta.
“Kejayaan NAS bergantung kepada kerjasama seluruh ekosistem dari pembuat dasar hingga ke rakyat di lapangan,” tegas beliau. — Edisi 9

