SEBANYAK 111 anak pokok berembang berjaya ditanam oleh seramai 40 pelajar Universiti Malaya (UM) dalam satu program pemuliharaan alam sekitar yang berlangsung di Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor, baru-baru ini.
Program berimpak tinggi bertemakan Langkah Hijau 24/25 itu dianjurkan oleh Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman (KK1) dengan kerjasama komuniti setempat sebagai sebahagian daripada inisiatif tahunan di bawah Projek ASTARCares.
Menurut Pengarah Projek, Mohd. Izwan Abdul Razik, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar serta memberi pendedahan secara langsung kepada ekosistem hutan paya bakau.
“Kita mahu mahasiswa sedar bahawa kelestarian bukan sekadar teori akademik. Ia perlu disusuli dengan tindakan dan komitmen berterusan,” katanya.
Jelas beliau, pemilihan pokok berembang atau nama saintifiknya Sonneratia caseolaris dibuat berdasarkan peranannya yang signifikan dalam ekosistem, khususnya sebagai habitat semula jadi bagi spesies kelip-kelip Pteroptyx tener yang semakin terancam.

Terdahulu, program bermula seawal pukul 7 pagi di Dewan Tun Perak, UM dengan sesi taklimat keselamatan sebelum peserta dibawa menaiki bas ke Kampung Kuantan, lokasi ekopelancongan yang terkenal dengan kelip-kelip.
Setibanya di lokasi, para peserta disambut mesra oleh wakil komuniti dan koordinator taman, Masbudi Abdul Malek, yang turut menyampaikan penerangan mengenai kepentingan pokok berembang dalam ekosistem sungai.
“Pokok berembang ini bukan sahaja tempat hinggap dan mencari makanan bagi kelip-kelip, malah berfungsi sebagai penapis semula jadi dan benteng hakisan di tebing sungai,” katanya yang telah lebih 10 tahun terlibat dalam pemuliharaan taman tersebut.
Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan merupakan antara lokasi konservasi semula jadi yang semakin terjejas akibat pembangunan tidak lestari dan pencemaran air.
Usaha menanam semula pokok berembang dilihat sebagai langkah proaktif dalam memastikan kelangsungan biodiversiti serta keseimbangan ekosistem yang semakin terancam.
Program ini turut mendapat pujian penduduk setempat yang mengharapkan lebih banyak kerjasama seperti ini dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa tempatan demi masa depan alam sekitar yang lebih lestari. – Edisi 9

