MALAYSIA dan Itali terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia–Itali yang menghimpunkan lebih 100 syarikat dari kedua-dua negara merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan serta agensi dan pertubuhan industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi berprofil tinggi itu dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, sebagai bukti iltizam kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama ekonomi secara strategik.
“Sesi ini mencerminkan kesungguhan bersama untuk memperkukuh hubungan dagang dan membuka ruang pelaburan strategik yang lebih luas antara Malaysia dan Itali,” katanya dalam kenyataan selepas sesi berkenaan.
Anwar menegaskan, Malaysia kekal komited terhadap prinsip perdagangan bebas dan terbuka sebagai asas pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
“Dalam landskap global yang semakin mencabar, kestabilan dan keamanan antarabangsa merupakan asas penting kepada kemakmuran ekonomi serta peluang sinergi rentas sempadan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti perniagaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa sesi itu berjaya memperkukuh keyakinan pemain industri Itali terhadap dasar keterbukaan, kecekapan tadbir urus serta daya saing ekonomi negara.
“Penyertaan aktif syarikat-syarikat terkemuka menyerlahkan potensi kerjasama dua hala yang lebih berimpak tinggi, berpaksikan nilai tambah, inovasi dan kepentingan bersama,” jelasnya.
Antara sektor strategik yang dibincangkan termasuk tenaga boleh baharu, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon, pertahanan, ekonomi digital, aeroangkasa dan industri berteknologi tinggi termasuk bidang-bidang utama yang menjadi tunjang kepada agenda reformasi ekonomi negara.
Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah delegasi menteri dan pegawai tinggi Malaysia serta pemain industri utama dari Itali. — Edisi 9

