Friday, June 5, 2026

Bekas penyerang Stallion Laguna sah sertai Terengganu FC

Mesti Baca

BEKAS ‘musuh’, kini jadi harapan utama. Ini setelah bekas penyerang Stallion Laguna, Junior Ngong Sam sah menjadi pemain import pertama yang ditandatangani Terengganu FC (TFC) bagi musim 2025/2026.

Penyerang berbisa dari Cameroon itu tiba di bumi Terengganu semalam selepas melepasi ujian perubatan dan kecergasan di Kuala Lumpur, sekali gus mengesahkan kehadirannya dalam skuad Penyu musim ini.

Sam, 27, bukan asing buat penyokong TFC apabila sebelum ini pernah dua kali berdepan pasukan itu dalam saingan Piala AFC bersama Stallion Laguna dari Liga Filipina dan cemerlang menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan.

“Waktu datang ke sini dulu, saya memang teruja dengan fasiliti yang dimiliki Terengganu FC. Suasana dan layanan di sini sangat profesional dan berbeza dengan kelab lain yang saya pernah sertai,” kata Sam selepas menandatangani kontrak semusim.

“Sebab itu, bila dapat tawaran dari TFC, saya tak fikir panjang. Saya yakin ini peluang terbaik untuk saya terus berkembang,” tambahnya.

Dikenali dengan kepantasan dan kekuatan fizikal, Sam dijangka menjadi senjata utama bahagian serangan skuad kendalian Tomislav Steinbrückner dan bakal menyarung jersi nombor 19.

Penyokong Terengganu kini menaruh harapan tinggi agar Sam mampu mengulangi sentuhan berbisanya, kali ini bukan sebagai lawan, tetapi sebagai pemusnah benteng pasukan lawan!

Sementara itu, TFC yang menduduki tangga Liga Super musim lalu mendapat penajaan sebanyaj RM1.65 juta daripada Kumpulan Terengganu Inc, iaitu syarikat perbadanan milik kerajaan negeri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, penajaan tersebut dalam bentuk wang tunai dan perkhidmatan.

“Usaha ini adalah kesinambungan kepada komitmen Kumpulan dalam menyokong agenda negeri untuk menjadikan sukan sebagai salah satu pemacu pembangunan sosioekonomi. 

“Kerjasama ini juga dijangka dapat meningkatkan keterlihatan jenama syarikat-syarikat GLC Terengganu Inc melalui pelbagai platform yang ditawarkan oleh Terengganu FC, termasuk program pembangunan belia, aktiviti komuniti serta kempen penjenamaan bersama,” katanya semalam. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan