Thursday, June 4, 2026

Empat ditahan, vape ‘perisa’ kokain bernilai RM7.29 juta dirampas

Daripada empat ditahan, tiga daripadanya warga Singapura dan berjaya merampas hampir 5,000 katrij vape dalam serbuan di sebuah lobi hotel mewah di Ampang Jaya.

Mesti Baca

TIGA warga Singapura dan seorang lelaki tempatan dicekup dalam serbuan berprofil tinggi membabitkan rampasan hampir 5,000 katrij vape mengandungi dadah jenis kokain bernilai RM7.29 juta, di sebuah hotel mewah di Ampang Jaya, Khamis lalu.

Keempat-empat suspek berusia antara 20-an hingga 50-an itu ditahan ketika menaiki sebuah Toyota Vellfire dan di kawasan lobi hotel hasil risikan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan 10 kotak berisi 4,958 unit katrij vape yang mengandungi cecair disyaki dadah kokain seberat 9.42 liter.

“Kesemua suspek dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah bertaraf antarabangsa yang menyasarkan pasaran luar negara dan golongan elit,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), SAC Jasmirol Jamaluddin; Penolong Pengarah Narkotik (Risikan Zon II), ACP Mohd Taufik Maidin dan Penolong Pengarah Narkotik (Urusetia) Supt Chew Chee Lee.

Hampir 5,000 katrij vape mengandungi cecair kokain yang dirampas dalam satu serbuan di Ampang Khamis lalu.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai menyewa kondominium mewah di ibu negara sebagai lokasi pembungkusan sebelum produk dihantar ke luar negara.

“Siasatan mendapati suspek tempatan bertindak sebagai pemandu, manakala dua suspek Singapura menerima upah harian antara S$100 hingga S$200.

“Suspek keempat yang juga warga Singapura dipercayai pembekal utama dan memperoleh keuntungan dari jualan dadah berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, semakan rekod jenayah mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala dua lagi bersih daripada sebarang rekod.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali jika disabitkan kesalahan.

JSJN menyeru orang ramai menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di 012-208 7222. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan