SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.
Baginda senada dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini, berhubung keputusan yang dibuat oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini.
Baginda menegaskan, penyalahgunaan perkataan “Islam” dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan “Sisters in Islam” ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan “Islam” tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” titah baginda dalam satu kenyataan menerusi media sosial hari ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat adalah sah, namun hanya terpakai terhadap individu yang menganut agama Islam dan bukan terhadap pertubuhan seperti SIS Forum (Malaysia).
Keputusan itu dibuat panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Tan Sri Abdul Karim Abdul Jalil.
Tengku Maimun berkata, tafsiran frasa ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada manusia sebenar (natural persons), dan bukannya syarikat, pertubuhan atau entiti buatan.
“Hanya manusia boleh mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa dan menunaikan haji. Maka, hanya manusia boleh menganut agama Islam,” ujar beliau dalam ringkasan penghakiman hari ini.
MAIS anggap keputusan campuri urusan
Sementara itu Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin dalam kenyataan media dukacita dengan keputusan mahkamah tersebut kerana secara tidak langsung telah mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak.
Katanya, MAIS bimbang keputusan kes tersebut akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat.
“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya.
Salehuddin berkata, MAIS memberi jaminan akan bersama penguatkuasa agama negeri itu untuk memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dapat dibanteras.
Beliau juga menggesa masyarakat Islam tidak terlibat atau memberi sokongan terhadap apa-apa program yang berkaitan dengan fahaman yang telah diwartakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam termasuk fahaman liberalisme dan pluralisme agama. — Edisi 9

