KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) mengarahkan kerja pembaikan segera dilaksanakan di Jalan Negeri J165, Gunung Pulai, Kulai susulan kemalangan maut yang meragut nyawa seorang penunggang basikal warga Singapura, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemeriksaan awal mendapati permukaan jalan mengalami kerosakan serius berbentuk crocodile cracks dipercayai akibat penggunaan kerap oleh kenderaan berat, termasuk lori-lori dari kawasan kuari berhampiran.
“Meskipun jalan ini di bawah seliaan Kerajaan Negeri Johor melalui peruntukan MARRIS, saya telah berhubung dengan pihak negeri agar kerja pembaikan pavemen menggunakan kaedah R01 dilaksanakan serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerja grading semula bahu jalan juga akan dibuat dalam masa terdekat sebelum pembaikan menyeluruh dijalankan selepas peruntukan diterima.
KKR, katanya, tetap prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya walaupun jalan terbabit bukan di bawah bidang kuasa langsung kementeriannya.
Dalam masa sama, beliau menyeru pihak berkaitan seperti kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah serta pengendali kuari untuk berganding bahu memastikan jalan kekal selamat, terutamanya di kawasan yang kerap digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal.
Sementara itu Alexander menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang menyayat hati apabila ia berlaku semasa aktiviti riadah yang sepatutnya membawa manfaat kesihatan dan kegembiraan.
Beliau menasihati komuniti berbasikal agar lebih berhati-hati, memilih waktu dan laluan yang selamat untuk beriadah serta mematuhi semua peraturan jalan raya.
“Elakkan laluan yang kerap digunakan kenderaan berat, pakai topi keledar, gunakan lampu reflektif dan jangan guna telefon ketika mengayuh. Keselamatan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam kejadian semalam, seorang penunggang basikal berusia 42 tahun sedang berbasikal bersama tiga lagi penunggang basikal terlanggar lubang sebelum terjatuh di atas jalan raya.
Ketika kejadian, pemandu treler lelaki warga tempatan berusia 41 tahun yang dalam perjalanan ke Singapura untuk menghantar batu tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa yang terperosok di bawah treler itu cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. — Edisi 9

