BERMULA 1 Julai ini, kerajaan akan melaksanakan semakan semula sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) menerusi pendekatan bersasar, yang dirangka untuk meningkatkan hasil negara tanpa menekan majoriti rakyat.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi Belanjawan 2025 yang mahu memastikan pertumbuhan fiskal mampan di tengah peningkatan komitmen kerajaan terhadap sektor kesihatan, pendidikan dan bantuan sosial.
Pensyarah Kanan Jabatan Perakaunan dan Kewangan, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional, Norkhazimah Ahmad berkata, justifikasi utama SST bersasar ialah untuk memperluaskan asas percukaian secara adil, di mana cukai hanya dikenakan terhadap barangan mewah dan gaya hidup bukannya keperluan harian.
Beliau berkata, ini akan membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak dan gas, selain memperkukuh kedudukan fiskal negara.
“Pelaksanaan SST bersasar adalah usaha memastikan hanya golongan berkemampuan yang menyumbang lebih kepada hasil negara, tanpa menjejaskan kos sara hidup rakyat terbanyak,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Sebagai contoh, cukai jualan sebanyak 10 peratus akan dikenakan terhadap barangan seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik yang dibeli atas dasar hobi atau minat peribadi bukan sebagai keperluan harian.
Perkhidmatan pula disemak secara selektif dengan hanya enam kategori perkhidmatan baharu dikenakan cukai, dan itu pun dengan pelbagai pengecualian strategik yang memastikan ianya tidak membebankan rakyat biasa.
Tambah beliau, pelaksanaan cukai ke atas perkhidmatan seperti sewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan kecantikan ditentukan secara bersasar.
Misalnya, perkhidmatan kesihatan swasta hanya dikenakan cukai jika ia diberikan kepada bukan warganegara, manakala sektor pendidikan hanya melibatkan institusi yang mengenakan yuran melebihi RM60,000 setahun dan angka yang biasanya melibatkan ekspatriat atau golongan T20.
“Kriteria nilai ambang ini adalah mekanisme kawalan supaya hanya institusi besar dan golongan berpendapatan tinggi yang terlibat,” jelas Norkhazimah lagi.
Mengulas mengenai risiko pencatutan harga oleh peniaga, beliau menekankan bahawa peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah amat penting dalam menjalankan pemeriksaan berkala serta memantau harga menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.
“Undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu. Kerjasama antara MOF dan KPDN sangat diperlukan, termasuk berkongsi pangkalan data perniagaan berdaftar SST,” jelas beliau.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan menyediakan insentif khas kepada perniagaan yang pertama kali diwajibkan mendaftar di bawah SST.
Antaranya termasuk geran pembelian sistem perakaunan yang cekap dan insentif potongan dua kali untuk latihan pekerja berkaitan cukai.
“Perniagaan kecil dan sederhana perlu dibantu agar tidak terbeban dengan peralihan ini,” katanya.
Apabila ditanya mengenai hala tuju jangka panjang SST, Norkhazimah menyatakan bahawa kerajaan mungkin akan mempertimbangkan semula pelaksanaan GST sekiranya keadaan fiskal negara memerlukan sistem yang lebih telus dan menyeluruh.
Namun begitu, pelaksanaan semula GST memerlukan kajian mendalam agar tidak memberi kesan negatif kepada rakyat berpendapatan rendah.
“Apa juga sistem yang dipilih, yang penting adalah kecekapan pelaksanaan dan kebolehfahaman rakyat terhadap mekanisme percukaian itu sendiri,” tambah beliau.
Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran pelaksanaan SST bersasar bukan sahaja di peringkat kerajaan malah kepada perniagaan yang memerlukan sistem, latihan dan perubahan struktur harga.
Justeru, kerjasama antara agensi kerajaan, penguatkuasaan berkesan dan kempen kesedaran awam merupakan kunci kejayaan pelaksanaan sistem ini secara inklusif dan adil. – Edisi 9

