ORANG ramai tidak perlu bimbang tentang bekalan haiwan korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini kerana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan ia mencukupi.
Menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), jumlah keseluruhan lembu dan kerbau yang tersedia untuk korban sehingga Mac lalu ialah 38,804 ekor, termasuk 35,581 ekor ternakan tempatan dan 3,223 ekor diimport.
Bagi kambing dan bebiri pula, terdapat 30,167 ekor dengan 26,845 ekor daripada penternak tempatan manakala 3,322 ekor lagi diimport.
“Permintaan dijangka sekitar 34,451 ekor lembu/kerbau dan 22,453 ekor kambing/bebiri. Jumlah bekalan yang ada melebihi permintaan dan mencukupi untuk sambutan Aidiladha kali ini,” kata KPKM dalam satu kenyataan, hari ini.
Hari Raya Aidiladha disambut umat Islam di seluruh negara pada Sabtu ini.
Dalam pada itu, 27 rumah sembelih milik DVS di Semenanjung Malaysia sedia beroperasi sepenuhnya, manakala 40 rumah sembelih swasta juga diberi lesen khas untuk pengendalian penyembelihan korban.
Bagi mereka yang ingin melakukan penyembelihan di lokasi lain seperti masjid, sekolah, kawasan perumahan atau tempat awam, permohonan permit luar perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa berserta dokumen berkaitan.
KPKM turut menasihatkan semua pihak yang terlibat agar merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan oleh DVS bagi memastikan proses ibadah dijalankan dengan teratur dan mematuhi syariat. – Edisi 9

