Friday, June 5, 2026

Naratif palsu tarik sokongan dan kestabilan Kerajaan Perpaduan

Dakwaan mengenai penarikan sokongan ini juga langsung tidak masuk akal jika dilihat dari sudut logik dan realiti politik PKR.

Mesti Baca

KEBELAKANGAN ini arena politik Malaysia sekali lagi digegarkan dengan dakwaan palsu mengenai penarikan sokongan kononnya oleh 11 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, seperti yang ditegaskan dakwaan ini adalah satu rekaan semata-mata, bertujuan untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik negara.

Setelah bertahun-tahun melalui ketidakstabilan politik, rakyat Malaysia kini jelas muak dengan naratif “kerajaan bakal tumbang” yang tidak berkesudahan.

Keinginan utama rakyat adalah kestabilan dan fokus kepada isu-isu ekonomi serta kesejahteraan hidup.

Sebarang usaha untuk menukar kerajaan haruslah dilakukan secara sah dan demokratik melalui Pilihan Raya Umum, bukannya melalui khabar angin murahan atau persepsi yang sengaja diwujudkan.

Ini menunjukkan kematangan politik rakyat yang semakin menuntut pertanggungjawaban daripada ahli politik.

Dakwaan mengenai penarikan sokongan ini juga langsung tidak masuk akal jika dilihat dari sudut logik dan realiti politik PKR.

Bagaimana mungkin Ahli Parlimen seperti Chang Lih Kang dan Datuk Seri Aminuddin Harun yang baru sahaja dipilih sebagai Naib Presiden PKR dan masih memegang jawatan penting sebagai Menteri dan Menteri Besar, akan menarik sokongan?

Malah, ramai lagi dalam senarai yang dinamakan itu merupakan pimpinan utama parti yang telah menunjukkan kesetiaan mereka.

Penafian secara terbuka oleh kesemua Ahli Parlimen yang dinamakan itu juga secara jelas mengesahkan bahawa mesej yang tular adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

Kenyataan ini juga mendedahkan beberapa agenda terselindung di sebalik penyebaran dakwaan palsu ini antaranya, ia bagi menghangatkan terkait isu pemilihan dalam PKR.

Meskipun pemilihan parti telah selesai dan berjalan lancar, naratif palsu ini cuba untuk terus menghangatkan isu tersebut, mungkin dengan harapan untuk mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti terutama kumpulan yang kalah dalam pemilihan.

Pihak yang menyebarkan naratif ini juga disifatkan sebagai mereka yang kecewa melihat kelancaran proses pemilihan PKR.

Mereka mungkin mengharapkan kekacauan dan perpecahan dalam parti, namun harapan mereka tidak menjadi kenyataan.

Pada saat negara sedang bergelut dengan pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi, penyebaran berita palsu ini dilihat sebagai cubaan untuk mengalihkan fokus pentadbiran negara.

Ia jelas mengarut untuk mengheret masalah dalaman parti (jika ada) ke kancah pentadbiran negara yang sedang berusaha keras untuk memastikan kestabilan dan kemajuan.

Jika benar ada kekecewaan dalam kalangan ahli parti selepas pemilihan, ia seharusnya ditujukan kepada ahli parti yang membuat keputusan, bukannya kepada Perdana Menteri yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan proses pemilihan parti.

Tindakan menarik sokongan kepada Anwar atas dasar ini adalah langkah yang tidak relevan dan pramatang.

Naratif palsu ini juga dilihat sebagai cubaan pembangkang untuk mencipta isu baharu setelah mereka sendiri ketandusan isu untuk menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar.

Apabila tiada naratif yang kuat untuk ditawarkan kepada rakyat, taktik penyebaran berita palsu menjadi pilihan bagi sesetengah pihak.

Keseluruhannya, insiden dakwaan palsu penarikan sokongan ini adalah satu lagi cubaan untuk mengganggu gugat kestabilan politik Malaysia.

Namun, dengan penafian jelas daripada pihak-pihak yang dinamakan dan kesedaran rakyat terhadap taktik politik kotor, naratif palsu ini dijangka tidak akan memberi kesan signifikan.

Justeru, Kerajaan Perpaduan perlu terus fokus kepada agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, sambil memastikan maklumat yang tepat dan sahih disampaikan kepada umum untuk menangkis sebarang berita palsu yang cuba mencemarkan suasana politik negara.

Rakyat pula diharapkan untuk terus menjadi pembaca yang bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tidak berasas. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan