SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-46 menjadi platform penting buat Malaysia membuktikan keupayaannya sebagai kuasa pertengahan serantau dalam memacu kemajuan teknologi komunikasi serta memperkukuh keselamatan siber di Asia Tenggara.
Menurut Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan & Politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, Malaysia kini berada di landasan kukuh dalam menghadapi cabaran era digital, khususnya melalui pembangunan rangkaian 5G, komunikasi berkelajuan tinggi dan sistem keselamatan siber yang semakin mantap.
“Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, malah turut menjadi pemacu kerjasama keselamatan siber dan diplomasi teknologi serantau. Dalam konteks ASEAN kali ini, negara memainkan peranan penting membentuk ekosistem komunikasi yang selamat dan berdaya saing,” katanya kepada Edisi 9.
Rangka Keselamatan Siber Kukuh
Malaysia memiliki rangka kerja keselamatan siber yang utuh menerusi agensi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Noor Nirwandy menjelaskan, agensi-agensi berkenaan berjaya melaksanakan pelbagai langkah berkesan dalam memastikan keselamatan digital berada pada tahap optimum.
Beliau turut menyarankan agar semua platform berkaitan keselamatan siber mematuhi piawaian dan garis panduan yang ditetapkan bagi mengekalkan tahap keselamatan tertinggi.

“Malaysia juga ke hadapan dalam melesenkan platform media sosial serta membangunkan sistem semakan fakta seperti Sebenarnya.my dan pembantu pintar AIFA (Artificial Intelligence Fact Check Assistant) di bawah Kementerian Komunikasi, yang membuktikan komitmen negara dalam membendung penularan maklumat palsu,” ujarnya.
Langkah ini, katanya, penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap keselamatan siber, terutamanya dalam era sambungan berkelajuan tinggi seperti 5G.
Perpaduan Melalui Teknologi
Dalam konteks pendigitalan negara, kejayaan inisiatif JENDELA yang memperluas capaian internet ke seluruh negara membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan rakyat tidak tercicir daripada arus digital.
“Teknologi perlu dimanfaatkan untuk memperkasa pemikiran, pendidikan dan perpaduan rakyat. Kita harus membina apa yang saya istilahkan sebagai ‘algoritma perpaduan’, iaitu penggunaan teknologi untuk menyatupadukan rakyat dan memperkukuh identiti nasional,” jelas beliau.
Malaysia Sebagai Penanda Aras ASEAN
Sidang Kemuncak ASEAN turut membuka peluang kerjasama lebih luas dalam keselamatan siber dan teknologi digital. Malaysia diyakini mampu menjadi contoh terbaik kepada negara-negara serantau menerusi pendekatan diplomasi teknologi yang matang dan inklusif.
“Negara luar kini sedang memerhati bagaimana Malaysia membina piawaian dan prosedur operasi standard (SOP) dalam keselamatan digital. Sekiranya kita terus konsisten, Malaysia berpotensi menjadi penanda aras serantau,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih wujud jurang pemahaman dalam kalangan rakyat terhadap keselamatan digital. Justeru, pendidikan dan kesedaran awam perlu dipertingkat agar masyarakat bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi juga celik digital dan bertanggungjawab.
Komitmen Berterusan
Dengan sokongan rakyat serta kerjasama antara agensi dan kementerian berkaitan, Malaysia diyakini mampu muncul sebagai pemimpin digital di peringkat ASEAN.
Kejayaan dalam bidang 5G, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber bukan sahaja memacu kemajuan negara, malah mengukuhkan imej Malaysia di mata dunia.
“Malaysia bukan sahaja menyesuaikan diri dengan arus teknologi, malah turut membentuknya – demi rakyat, demi ASEAN, dan demi masa depan rantau ini,” tegas Noor Nirwandy.

