Thursday, June 4, 2026

Malaysia, Indonesia terajui penubuhan Majlis Halal ASEAN

Penubuhan majlis itu bakal menjadi platform penting dalam menyelaras dasar, piawaian dan standard halal negara-negara ASEAN secara sistematik dan inklusif.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

MALAYSIA dan Indonesia bersetuju untuk menerajui penubuhan Majlis Halal ASEAN sebagai langkah strategik memperkukuh ekosistem halal serantau yang kini semakin mendapat perhatian dunia.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selepas mengadakan pertemuan strategik bersama Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Haikal Hassan Baras, sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Menurut beliau, penubuhan majlis itu bakal menjadi platform penting dalam menyelaras dasar, piawaian dan standard halal negara-negara ASEAN secara sistematik dan inklusif.

“Inisiatif ini akan memastikan ASEAN tampil sebagai peneraju ekosistem halal global yang diiktiraf dan diyakini oleh masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata, kedua-dua negara turut bersetuju membuka laluan lebih luas bagi kemasukan produk halal serta memperluas pengiktirafan bersama sijil halal.

Langkah itu, ujarnya, bukan sahaja akan melancarkan perdagangan intra-ASEAN, malah memberi kesan positif terhadap pertumbuhan pasaran halal serantau yang kini mewakili lebih 700 juta penduduk.

“Malaysia komited untuk terus mempergiat kerjasama dalam aspek pensijilan, pendidikan, penyelidikan serta pembangunan tenaga kerja halal di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, nilai pasaran halal global dijangka mencecah AS$5 trilion menjelang 2030, sekali gus menjadikan ASEAN berpotensi besar untuk muncul sebagai hab halal utama dunia.

Sehubungan itu, Malaysia turut memperkenalkan konsep Halal Diplomacy sebagai pendekatan baharu dalam mengukuhkan jenama halal negara di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama ini akan menjadi testimoni kejayaan Halal Diplomacy Malaysia untuk memimpin industri halal dunia dengan integriti serta piawaian yang tinggi,” tegasnya.

Majlis Halal ASEAN dijangka dilancarkan secara rasmi pada tahun ini sebagai manifestasi komitmen serantau dalam membentuk ekosistem halal yang mampan, berdaya saing dan inklusif. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan