Wednesday, July 22, 2026

Malaysia berpotensi jadi peneraju pertanian kitaran ASEAN

Peralihan kepada ekonomi kitaran bukan sekadar satu trend global malah satu keperluan mendesak bagi menjamin kelestarian alam sekitar dan daya tahan ekonomi negara pada masa hadapan.

Mesti Baca

MALAYSIA berpotensi besar untuk muncul sebagai peneraju dalam bidang pertanian berasaskan ekonomi kitaran di rantau ASEAN sekiranya pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, pihak industri dan petani dilaksanakan secara bersepadu.

Menurut Profesor Datuk Dr. Ahmad Ibrahim dari Tan Sri Omar Centre for STI Policy, Universiti UCSI, peralihan kepada ekonomi kitaran bukan sekadar satu trend global malah satu keperluan mendesak bagi menjamin kelestarian alam sekitar dan daya tahan ekonomi negara pada masa hadapan.

Jelas beliau, ekonomi kitaran kini menjadi fokus utama dunia sebagai alternatif kepada model ekonomi linear tradisional yang bersifat “ambil, guna dan buang” bahkan model baharu ini menekankan kepada penggunaan sumber secara optimum melalui amalan guna semula, kitar semula, dan pengurangan sisa.

“Sumber asli seperti air, mineral dan bahan api fosil semakin terhad. Dalam masa yang sama, pencemaran dan perubahan iklim semakin meruncing. Ekonomi kitaran mampu menangani masalah ini dengan memperkenalkan pendekatan lestari dalam semua sektor termasuk pertanian,” katanya hari ini.

PROF DR AHMAD IBRAHIM

Beliau menambah, banyak negara maju seperti Belanda, Jepun dan negara-negara Kesatuan Eropah telah pun memperkenalkan dasar ketat yang menggalakkan pengurangan sisa, peningkatan kitar semula dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Di Malaysia, pelbagai inisiatif telah mula dijalankan dalam sektor pertanian termasuk penggunaan teknologi pertanian pintar seperti akuaponik dan hidroponik, penghasilan kompos daripada sisa pertanian, serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan biogas di ladang-ladang Felda.

“Contohnya, akuaponik semakin mendapat tempat di Melaka dan Selangor. Di Kedah pula, sisa ikan dan udang dari industri akuakultur telah diproses menjadi makanan ternakan. Usaha ini bukan sahaja mengurangkan sisa, malah menjana pendapatan tambahan kepada petani,” ujar beliau.

Beliau turut memuji usaha pertanian bandar seperti Kebun-Kebun Bangsar dan platform perkongsian jentera pertanian seperti eTani yang selaras dengan konsep ekonomi kitaran.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pendekatan ini mampu meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia import dan memanfaatkan sisa pertanian yang selama ini hanya dibuang atau dibakar.

“Malaysia juga dapat memenuhi syarat ketat pasaran global seperti EU dan Jepun yang mengutamakan produk pertanian mampan. Contohnya, pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) semakin penting untuk akses pasaran antarabangsa,” katanya lagi.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa peralihan ini bukan mudah dan berdepan beberapa cabaran termasuk kos teknologi hijau yang tinggi, kekurangan infrastruktur kitar semula, serta kurangnya kesedaran dalam kalangan petani kecil.

“Pendidikan dan latihan kepada petani, subsidi bagi baja organik, insentif untuk penggunaan teknologi serta perluasan pasaran produk kitaran adalah antara langkah penting untuk mempercepatkan peralihan ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan