SERAMAI 42 mahasiswa Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah menyertai program kesedaran alam sekitar Astrec Community Splash di Pulau Perhentian, Terengganu.
Program anjuran Astar Recreational and Educational Club (Astrec), di bawah Jawatankuasa Perkembangan Sukan dan Rekreasi, Kolej Kediaman Pertama UM itu bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap pemeliharaan ekosistem marin, khususnya habitat penyu dan terumbu karang, selain memperkukuh kemahiran insaniah serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi pengajaran interaktif di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian bagi memberi pendedahan awal kepada murid tentang kepentingan habitat karang, di samping lawatan komuniti ke Kampung Pasir Hantu bagi memahami realiti kehidupan masyarakat tempatan dan usaha konservasi yang dilaksanakan.
Aktiviti selam permukaan (snokerling) turut menjadi tarikan utama apabila para peserta berpeluang melihat sendiri keindahan serta kerapuhan ekosistem marin di perairan Pulau Perhentian.
Program turut diserikan dengan sukan pantai dan sesi BBQ bersama penduduk kampung, sekali gus mengeratkan hubungan mahasiswa dengan komuniti setempat.

Menurut Pengarah Program, Khor Kai Xuan, inisiatif ini merupakan platform penting untuk mendidik generasi muda agar lebih prihatin terhadap isu perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar.
“Sebagai generasi akan datang, mahasiswa bukan sahaja perlu celik akademik, tetapi juga celik alam sekitar. Program ini membuka peluang kepada kami untuk berbakti kepada masyarakat dan alam semula jadi secara langsung,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Program, Goh Pei Chong menyifatkan penganjuran tersebut seiring dengan nilai keseimbangan pembangunan intelek, emosi dan sosial yang diterapkan oleh Kolej Kediaman Pertama.
“Keupayaan pelajar menganjurkan program berimpak tinggi ini amat membanggakan dan diharapkan dapat membentuk mereka menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab serta cakna terhadap isu kelestarian,” katanya.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Fuze Ecoteer, sebuah organisasi yang berfokus kepada pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar. Mereka membantu dalam menyediakan bahan pendidikan serta mendedahkan peserta kepada pendekatan terkini dalam usaha konservasi marin.
Inisiatif ini juga menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Penempatan Mampan (SDG 11) dan Tindakan Iklim (SDG 13), sekali gus membuktikan mahasiswa UM tidak hanya menumpukan kepada kecemerlangan akademik semata-mata, malah turut prihatin terhadap cabaran global semasa. – Edisi 9

