KOPERASI Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) selesai membayar sebanyak RM319.44 juta kepada 18,785 ahli yang memohon pengeluaran syer masing-masing.
Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, mereka sebahagian daripada keseluruhan 29,159 ahli yang membuat permohonan pengeluaran syer sejak 2022 dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.
Beliau berkata, sebanyak 10,376 permohonan membabitkan RM372.13 juta lagi masih dalam proses dan akan diselesaikan secara berfasa dan penggiliran dengan keutamaan kepada kes kritikal seperti perubatan, haji dan umrah serta pendidikan.
“Walaupun berdepan permintaan tinggi terhadap pengeluaran syer sehingga menyebabkan KPF berdepan isu aliran tunai, namun kami tetap komited untuk memenuhi tanggungjawab kepada ahli.
“KPF perlu menguruskan pembayaran dengan teliti berdasarkan keutamaan bagi memastikan kebajikan ahli sentiasa menjadi fokus utama,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KPF, Sakinah Salleh serta beberapa Ahli Lembaga KPF.
Mohd Banuri menegaskan, KPF berjaya mengekalkan prestasi kewangan yang stabil tanpa mencatatkan kerugian sejak penubuhannya pada tahun 1980, sekali gus membuktikan keupayaan pengurusan dan asas ekonomi yang kukuh.
Bahkan, menurut beliau, bagi menambahkan lagi pendapatan KPF, pihaknya telah melaksanakan pelan rasionalisasi aset pelaburan melibatkan tiga langkah.
Langkah tersebut ialah melakukan penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat tahun ini, pelupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan serta penstrukturan semula pegangan salam syarikat bersekutu.
“Langkah-langkah ini bukan sahaja bertujuan menjana semula aliran tunai tetapi juga membuka laluan kepada model perniagaan yang lebih lestari serta berdaya saing dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Mohd Banuri berterima kasih kepada Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melantik KPF sebagai ejen tunggal pembelian buah tanda segar (BTS) dan menguruskan pusat mengumpul sawit (PMS).
Katanya, kepercayaan yang diberikan pengurusan tertinggi Felda dapat membantu KPF untuk terus berkembang dan menjana pendapatan. – Edisi 9

