Friday, June 5, 2026

MT UMNO bersyukur sokongan Melayu, anak muda meningkat

Ini membuktikan rakyat menolak politik perkauman, kebencian, maki-hamun dan mainan persepsi seolah-olah Islam dan Melayu terancam.

Mesti Baca

MAJLIS Tertinggi (MT) UMNO menzahirkan kesyukuran dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah menunjukkan peningkatan sokongan pengundi Melayu, pelbagai kaum dan anak muda.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini membuktikan rakyat menolak politik perkauman, kebencian, maki-hamun dan mainan persepsi seolah-olah Islam dan Melayu terancam.

“UMNO menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi DUN Ayer Kuning atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga memungkinkan kemenangan dengan majoriti besar di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kecuali satu sahaja,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mesyuarat MT UMNO itu dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir, dua Naib Presidennya iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO juga mengucapkan terima kasih kepada jentera parti-parti komponen BN dan Friends of BN, juga rakan-rakan daripada Pakatan Harapan (PH) yang bekerja keras memenangkan calon BN.

Dalam PRK Ayer Kuning yang berlangsung Sabtu lalu, BN menerusi Dr Mohamad Yusri Bakir berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 5,006 undi.

Mohamad Yusri memperoleh 11,065 undi, mengatasi Abdul Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dengan 6,059 undi serta Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia) yang mendapat 1,106 undi.

Sementara itu, MT UMNO juga menyokong cadangan penjenamaan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Asyraf Wajdi berkata, untuk itu majlis pemasyhuran secara rasmi akan dilakukan oleh Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang bertanggungjawab kepada MARA.

“Ini adalah sebahagian daripada pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan besar bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya.

Allahyarham yang juga Perdana Menteri Kelima meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lalu di usia 85 tahun dan dikebumikan di Makan Pahlawan, Masjid Negara. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan