ISLAMIC Relief menyeru seluruh dunia menghentikan kebuluran yang semakin buruk di Sudan susulan konflik berterusan di negara itu yang kini memasuki tahun kedua.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, kelaparan semakin merebak ke seluruh negara Afrika tersebut dan mengancam jutaan nyawa serta mencetuskan bencana kemanusiaan berskala besar.
Katanya, setakat ini kebuluran telah diisytiharkan di sekurang-kurangnya lima kawasan di Darfur dan Kordofan di barat Sudan, manakala 17 lagi lokasi berisiko tinggi memasuki tahap kebuluran dalam beberapa minggu mendatang.
Hampir 25 juta orang, iaitu separuh daripada populasi Sudan kini berdepan krisis kekurangan makanan akut.
Pengarah Negara Islamic Relief Sudan, Elsadig Elnour berkata, perang saudara yang berterusan selama dua tahun telah menjejaskan jutaan nyawa yang mana etani dihalau dari tanah mereka, pasar diserang, lori makanan dirompak dan bandar-bandar dikepung.

“Kami merawat lebih ramai kanak-kanak kekurangan zat makanan berbanding sebelum ini. Kakitangan kami sendiri menjadi pelarian, tetapi tetap gigih menyampaikan bantuan selagi mampu.
“Namun, pemotongan dana global semakin memburukkan keadaan, pada saat bantuan sepatutnya dipertingkatkan, bukan dikurangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Islamic Relief menggesa semua kerajaan di Persidangan London dan seluruh dunia menambah peruntukan dana kemanusiaan.
Dunia juga digesa memberi tekanan kepada pihak yang berkonflik agar membenarkan akses tanpa halangan kepada agensi bantuan, dan menyokong usaha damai yang inklusif dan menyeluruh.
“Pihak berkonflik sering kali menghalang bantuan ke kawasan yang berada di luar kawalan mereka, sama ada melalui keganasan bersenjata, sekatan pergerakan dan kekangan birokrasi.
“Meskipun agensi bantuan masih mampu mengakses banyak kawasan, kekurangan dana menjadi halangan utama untuk memperluas operasi,” kata Elnour.
Katanya, sehingga kini, Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan Sudan 2025 yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya menerima kurang 10 peratus daripada dana yang diperlukan walaupun sudah memasuki suku kedua tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, pemotongan dana global terhadap bantuan kemanusiaan memburukkan lagi keadaan.
“Bencana kemanusiaan kian parah apabila ratusan orang terbunuh dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini akibat keganasan melampau terhadap orang awam,”katanya.
Sejak konflik meletus pada April 2023, Islamic Relief telah membantu lebih 1.2 juta orang melalui pelbagai jenis bantuan seperti makanan dan keperluan asas lain namun, ia masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan yang sangat besar.
Selain keganasan berterusan, perang juga turut melumpuhkan ekonomi Sudan.
Kadar inflasi yang tinggi dan pengangguran yang melonjak menyebabkan rakyat tidak mampu membeli makanan walaupun masih ada bekalan di pasaran.
Melalui salah satu projek bantuan di Sudan, Islamic Relief telah menyalurkan bantuan tunai kepada ribuan keluarga agar mereka boleh mendapatkan keperluan asas di pasaran tempatan.
“Islamic Relief menyeru agar usaha rundingan damai dihidupkan semula dengan segera.
“Proses politik yang kini hampir lumpuh mesti digerakkan semula demi melindungi orang awam dan membuka jalan kepada keamanan yang berkekalan,”katanya.
Islamic Relief berkata, rundingan damai yang benar-benar berkesan hanya dapat dicapai dengan penglibatan bermakna masyarakat sivil Sudan khususnya golongan wanita, belia dan pelbagai kumpulan etnik agar suara dan kepentingan semua lapisan masyarakat diiktiraf dan diangkat. – Edisi 9

