PUSAT Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Pelangi (Rainbow Home), Cheras diarahkan ditutup manakala kesemua kanak-kanak yang menghuni rumah tersebut diselamatkan.
Arahan penutupan dibuat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat susulan kes penderaan yang dipercayai berlaku di rumah kebajikan tersebut.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, seramai 18 kanak-kanak, terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan dibawa ke Hospital Kajang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Mereka kemudiannya dibawa ke PKMD Hulu Langat untuk proses saringan awal.
Sebelum itu, pemeriksaan telah dijalankan di rumah kebajikan tersebut oleh Pegawai Diberi Kuasa (PBDK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor, PKMD Hulu Langat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) D11, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
“Susulan pemeriksaan tersebut, dua orang penjaga premis telah diminta hadir ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut,” kata KPWKM dalam kenyataan hari ini.
KPWKM berkata, pihaknya melalui JKM akan terus memantau situasi tersebut dan akan mengambil langkah susulan yang sewajarnya demi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Sehubugan itu, JKM menasihatkan orang ramai yang mengetahui tentang kes penderaan boleh terus menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau terus ke PKMD yang terdekat bagi mendapatkan bantuan segera.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri warga emas yang juga pemilik serta penjaga sebuah rumah perlindungan kanak-kanak persendirian di Batu 9, Cheras ditahan kerana disyaki mendera penghuni premis itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pasangan berusia 66 dan 68 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.20 petang.
Katanya, kedua-dua telah direman hari ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Beliau berkata, penangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan pada jam 10.08 malam 1 April lalu daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mendakwa didera dengan cara dimarahi serta ditampar pada pipi kiri oleh pemilik dan penjaga premis itu. – Edisi 9

