Thursday, July 23, 2026

Keindukan Islam, Melayu-Bumiputera mesti terus dipelihara

Mesti Baca

UMNO menyeru semua pihak agar mempertahankan prinsip Rukun Negara dan keluhuran perlembagaan sebagai asas penting yang membina negara bangsa sejak merdeka. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam sifat kemajmukan Malaysia mestilah terus dipelihara.

Beliau berkata, UMNO memandang serius perkembangan semasa yang melibatkan isu-isu berkaitan sensitiviti keagamaan, perkauman dan Institusi raja-raja Melayu (3R) sehingga mencetuskan kegelisahan dan ketidak-tenteraman di dalam masyarakat berbilang agama dan kaum.

“UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikai, meremeh ataupun mencabar asas-asas penting yang menjadi teras kestabilan negara terutamanya kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, keistimewaan Melayu-Bumiputera tanpa sesekali menafikan hak kebebasan beragama dan berbudaya yang dijamin Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikia dalam kenyataan sejurus selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib-Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ayraf Wajdi berkata, UMNO akan menggerakkan jentera dari seluruh Malaysia untuk membantu parti bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Kerusi DUN Ayer Kuning diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung ketika menyertai pertandingan bola sepak di Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Ayer Kuning diadakan pada 26 April manakala tarikh penamaan calon pada 12 April sementara pengundian awal pada 22 April.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat juga telah memutuskan persidangan tahunan cawangan akan diadakan pada 7 April hingga 25 Mei 2025.

Manakala mesyuarat perwakilan UMNO bahagian pula akan dilangsungkan pada 9 Jun hingga 27 Julai manakala Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan pada 20 hingga 24 Ogos 2025. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan