Thursday, June 4, 2026

ACLE: JDT berputih mata, tewas tipis kepada Buriram United

Jaringan tunggal Suphanat Mueanta ranapkan impian skuad Harimau Selatan untuk menempah slot ke suku akhir yang akan berlangsung di Arab Saudi, April depan.

Mesti Baca

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berputih mata untuk ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 apabila tewas tipis 1-0 kepada kelab dari Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam ini.

Ini merupakan perlawanan kedua di peringkat-16 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada saingan di Stadium Buriram minggu lalu.

Dengan keputusan tersebut bermakna skuad Harimau Selatan itu sekadar menyamai rekod yang dilakar mereka dalam saingan ACLE dua tahun lalu, biarpun kali ini dibarisi pemain-pemain import yang berkaliber.

Pun begitu, sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung dengan penuh dramatik apabila seawal saat ke-47, penyerang JDT, Bergson Da Silva berjaya menembusi gawang lawan, sebelum jaringan itu dibatalkan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana ofsaid.

Buriram United tidak hanya berdiam diri apabila terus membalas asakan bertali arus JDT menerusi percubaan Guilherme Bissoli pada minit ke-7 namun berjaya ditepis penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre Dorronsoro.

Tuan rumah sekali lagi berpeluang mendapatkan jaringan pada minit ke-28 bagaimana percubaan Afiq Fazail sekadar terkena tiang gawang sebelum bergolek ke luar padang.

Kedua-dua pasukan terus mengatur gerakan demi gerakan namun keputusan 0-0 kekal sehingga tamat 45 minit perlawanan separuh pertama.

Bersambung babak kedua, Buriram United dilihat lebih agresif mendapatkan gol dan usaha mereka berhasil apabila tendangan lencong penyerang, Suphanat Mueanta gagal ditepis penjaga gol tuan rumah menjadikan kedudukan 1-0 kepada pelawat.

Bagaikan tersentak dengan jaringan tersebut, JDT terus mengasak kubu lawan menerusi beberapa percubaan berbahaya namun barisan pertahanan pelawat kekal bertahan.

Harimau Selatan berpeluang mendapatkan jaringan apabila diberikan tendakan percuma namun sepakan Heberty De Andrade pada minit ke-85 terkena benteng pertahanan lawan.

Tuan rumah sekali lagi mendapat peluang akhir untuk menyamakan kedudukan apabila Jorge Lorenzo Rojas berjaya menyempurnakan hantaran Arif Aiman namun VAR sekali lagi membatalkan jaringan itu.

Pusingan suku akhir ACLE bakal berlangsung di Arab Saudi bermula 25 April hingga 4 Mei ini.

Juara kejohanan itu akan melayakkan diri ke Kejohanan Piala Antara Benua FIFA 2025 dan Piala Dunia Kelab FIFA serta melayakkan diri secara automatik dalam ACLE edisi tahun depan.

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan