SEMBILAN warga Bangladesh yang menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai tempat mencari pelanggan untuk menjual kad telefon (kad SIM) akhirnya dicekup oleh Jabatan Imigresen, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya membuat risikan selama dua minggu sebelum melakukan operasi khas semalam bagi membanteras ulat kad SIM yang didalangi warga asing.
Dalam operasi yang dijalankan di Terminal 1 KLIA itu, sembilan warga Bangladesh berusia 22 hingga 50 tahun ditahan selain merampas empat naskhah pasport Bangladesh, 10 unit telefon bimbit, 121 keping kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi (telco), lapan keping jarum pembuka kad SIM dan wang tunai berjumlah RM1,555.
“Modus operandi yang digunakan oleh “ulat kad SIM” warganegara Bangladesh ini adalah mensasarkan pelancong warganegara Bangladesh yang baru tiba di KLIA dengan menjual kad SIM secara langsung.
“Kad SIM daripada pelbagai telco Malaysia yang dijual akan didaftarkan atas nama individu lain dan dijual dengan harga RM25 sekeping.

“Soal siasat awal mendapati hasil penjualan kad SIM ini boleh mencecah sehingga RM1,500 hingga RM2,000 sehari dan dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, hasil semakan awal mendapati lima orang yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah, dua orang telah tinggal lebih masa manakala dua orang lagi dipercayai telah melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Manakal lima lelaki warganegara Bangladesh ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, dua ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan dua lagi ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua warganegara asing ini dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya. – Edisi 9

