Monday, July 20, 2026

Fiji minat contohi MARA perkasa ekonomi, pendidikan

Saya menyambut baik hasrat ini dan bersedia berkongsi pengalaman serta kepakaran Malaysia dalam bidang-bidang tersebut - Anwar Ibrahim

Mesti Baca

FIJI berminat untuk menggunakan pendekatan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkasa sektor ekonomi dan pendidikan di negara mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keinginan itu disuarakan oleh Perdana Menteri Fiji, Sitiveni L. Rabuka ketika kedua-dua pemimpin negara itu berhubung melalui panggilan telefon hari ini.

Anwar berkata, Rabuka telah menyatakan minatnya terhadap model pembangunan Malaysia dan ingin mencontohi pendekatan MARA dalam memperkasa sektor ekonomi dan pendidikan.

“Saya telah bercakap melalui telefon dengan Perdana Menteri Republik Fiji, Sitiveni L. Rabuka dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan negara kepulauan di Selatan Lautan Pasifik tersebut.

“Saya menyambut baik hasrat ini dan bersedia berkongsi pengalaman serta kepakaran Malaysia dalam bidang-bidang tersebut,”katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Dalam lapangan pendidikan, Anwar berkata, Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelajar dari negara itu, khususnya dalam program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dan teknologi maklumat.

Beliau turut menjemput Fiji untuk menyertai program latihan pembangunan kapasiti di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Katanya, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada pembangunan sumber manusia melalui latihan dan perkongsian kepakaran.

“Saya turut menzahirkan rasa syukur dengan pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur pada awal tahun ini. Ia mencerminkan komitmen tegas Fiji untuk memperkukuh hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Sebagai langkah seterusnya, saya ingin mengundang Rabuka untuk segera melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

“Saya percaya pertukaran lawatan peringkat tinggi akan terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik,”kata beliau. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan