Friday, June 5, 2026

Malaysia pamer inovasi, kemajuan teknologi di MWC 2025

MWC kali ini menjadi pentas bagi menonjolkan peranan Malaysia sebagai pemacu utama transformasi digital di peringkat ASEAN dan global.

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

MALAYSIA mempamerkan inovasi dan kemajuan teknologi dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) pada Mobile World Congress (MWC) 2025 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol semalam.

Menerusi Pavilion Malaysia, MWC kali ini menjadi pentas bagi menonjolkan peranan Malaysia sebagai pemacu utama transformasi digital di peringkat ASEAN dan global.

Ketua Setiausaha Kementeri Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, menerusi pengukuhan infrastruktur digital membuktikan Malaysia bukan sekadar peserta tetapi pemimpin dalam perubahan global.

Beliau berkata, Malaysia juga terus mengorak langkah dengan pencapaian luar biasa dalam pembangunan digital termasuk lebih 9.03 juta premis menikmati Internet berkelajuan tinggi pada masa kini, melebihi sasaran awal untuk 2025.

“Kelajuan jalur lebar mudah alih meningkat kepada 105.36 Mbps, sementara liputan Internet di kawasan berpenduduk mencapai 98.66 peratus.

Mohd Fauzi Md Isa (tiga kiri) meninjau rerurai di Pavilion Malaysia sempena Mobile World Congress 2025 di Barcelona, Sepanyol.

“Selain itu, liputan 5G kini berada pada 82.4 peratus, dengan kadar liputan pengguna mencecah 56.18 peratus sekaligus menjadikan Malaysia semakin hampir dengan jaringan internet penuh dan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pavilion Malaysia pada MWC 2025 di Barcelona, Sepanyol hari ini.

Hadir sama Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Seri Dr. Chee Hong Leong; Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa MCMC, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak, Datuk Dr Anderson Tiong.

Pada persidangan tersebut, Malaysia turut mempamerkan bagaimana teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI) mengubah pelbagai sektor.

Antaranya ialah bidang perubatan yang mana hospital pintar kini mampu menjalankan pembedahan jarak jauh dengan tuntas tanpa sebarang kelewatan berbanding pembedahan konvensional.

Sektor pendidikan pula mengalami lonjakan dengan pembelajaran realiti maya dan kecerdasan buatan, menjadikan pengalaman belajar lebih interaktif.

Manakala pertanian pintar menggunakan robotik dan automasi untuk meningkatkan hasil, serta industri penyiaran mencatat sejarah dengan siaran langsung SUKMA 2024 yang menggunakan teknologi 5G-Advanced.

“Malaysia juga memastikan akses digital menyeluruh dengan teknologi satelit berkelajuan tinggi dan komunikasi langsung ke peranti (D2D), membuka peluang kepada masyarakat luar bandar untuk menikmati manfaat era digital,” kata Mohd Fauzi. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan