KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh tidak teragak-agak untuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang cuba mengaitkan namanya dengan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Antara yang diberi tumpuan ialah pengendali Facebook Abdul Rani Kulup Fans (@kulupfans) yang menuduh ADUN Merlimau itu menerima RM10 juta daripada peruntukan komunikasi Ismail Sabri.
“Tuduhan fitnah yang melibatkan nama saya seperti di bawah ini adalah sangat berat.
“Jadi senang saja, kita jumpa di mahkamah untuk saman fitnah,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sebelum itu, pentadbir Facebook tersebut mendakwa Dr Akmal menerima peruntukan RM10 juta di bawah peruntukan komunikasi Perdana Menteri Kesembilan itu berdasarkan satu dokumen yang didedahkan.

“Patutlah Akmal Saleh tak melawan macam lawan DAP. Rupanya zaman Mail Bera (Ismail Sabri) RM10 juta dapat peruntukan untuk perbelanjaan komunikasi tahun 2022,” tulis laman Facebook itu, yang dipercayai menggunakan nama palsu.
Dr Akmal menegaskan, beliau bukanlah individu yang mencari makan dengan membuat fitnah seperti pentadbir laman tersebut.
Bahkan beliau juga katanya, bukan penakut yang berselindung di sebalik laman yang bukan nama sebenar.
“Jangan samakan level (tahap) pencacai dengan saya. Jumpa di mahkamah,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda Harapan Sarawak, Zairy Abdullah tampil membuat pernyataan maaf secara terbuka terhadap Dr Akmal atas tuduhan yang dilemparkan terhadap Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) itu.
“Saya ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Dr Akmal Saleh atas komen yang saya tulis di laman Facebook beliau, yang berpunca daripada khilaf dan sumber yang tidak sahih.
“Saya mengakui kesilapan saya dalam menyebarkan maklumat tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihannya.
“Saya amat kesal atas kekeliruan dan sebarang kesan negatif yang mungkin timbul akibat komen tersebut.
“Niat saya bukanlah untuk menyinggung atau menimbulkan salah faham, dan saya menerima sepenuhnya tanggungjawab atas kesilapan ini,” katanya, juga menggunakan dokumen sama untuk “menyerang” Dr Akmal.
Ismail Sabri kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran penemuan wang tunai RM170 juta dan 16kg jongkong emas tulen bernilai RM7 juta hasil siasatan terhadap empat bekas pegawai kanannya.
Siasatan itu menurut SPRM, adalah tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara. – Edisi 9

