BARU-BARU ini sekumpulan sukarelawan dari Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM) telah ‘masuk kampung’ Orang Asli di Rompin, Pahang untuk memberi kesedaran kesihatan dan pergigian.
Program bagi menyokong inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin MADANI telah berlangsung selama dua hari membabitkan 53 sukarelawan.
Objektif utama program ini adalah untuk memberikan perkhidmatan kesihatan pergigian kepada masyarakat Orang Asli di Rompin, di samping meningkatkan kesedaran mengenai risiko kanser mulut akibat tabiat mengunyah sirih dan pinang yang menjadi amalan harian mereka.
Seramai 261 penduduk kampung hadir ke Balai Raya Kampung Sena bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pergigian selain pendidikan kesihatan mulut, penskaleran gigi (cuci gigi), aplikasi topikal fluorida khusus untuk kanak-kanak, serta saringan kanser mulut.
Sepanjang program ini, pasukan sukarelawan mendapati bahawa tabiat mengunyah sirih dan pinang merupakan amalan biasa dalam kalangan penduduk kampung, dan majoriti daripada mereka mengamalkan tabiat ini sejak usia muda.

Tabiat ini, bersama merokok, merupakan faktor risiko utama yang dikaitkan dengan peningkatan kes kanser mulut.
Kajian menunjukkan bahawa sirih yang dicampur dengan bahan tambahan seperti kapur, tembakau, atau bahan kimia lain boleh merosakkan
tisu mulut dan meningkatkan risiko perkembangan sel kanser.
Selain itu, bahan kimia dalam asap rokok turut menyumbang kepada kerosakan tisu mulut serta perubahan dalam struktur sel yang boleh
mencetuskan penyakit berbahaya ini.
Oleh itu, program ini menekankan kepentingan kesedaran terhadap tanda-tanda awal kanser mulut dan kepentingan pengesanan awal.
Hasil pemeriksaan mendapati bahawa majoriti penduduk mengalami masalah kesihatan pergigian yang serius dengan 65 peratus peserta mengalami kerosakan gigi (karies), manakala 64 peratus menghadapi masalah gusi yang ketara.
Selain itu, sekitar 44 peratus mengamalkan tabiat mengunyah sirih pinang, sementara 45 peratus daripada mereka adalah perokok aktif, termasuk wanita.
Menyedari keadaan ini, pasukan pergigian mengambil langkah proaktif dengan memberi penerangan mengenai tanda-tanda kanser mulut serta risiko yang berkaitan.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan langkah pencegahan, khususnya dalam kalangan golongan muda agar lebih prihatin terhadap kesihatan mulut mereka.
“Sambutan terhadap pemeriksaan gigi sangat memberangsangkan, dengan ramai peserta sanggup menunggu giliran meskipun dalam keadaan hujan. Kami berharap program ini menjadi langkah awal dalam meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan penduduk
Kampung Sena, Rompin.
“Dengan kerjasama daripada pelbagai agensi, kami berharap ia dapat memberikan impak positif kepada komuniti Orang Asli, khususnya Kaum Jakun di Rompin,” kata
Prof. Dr. Norliza Ibrahim yang turut serta dalam program tersebut.
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian UM, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), National Cancer Society of Malaysia (NCSM), Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA), Perlis Plantation Berhad (PPB) Group Berhad serta pemimpin komuniti. – Dr Mohd Amirul Fahmi (UM).

