PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh umat Islam agar menyucikan hati daripada kebencian sempena Ramadan kali ini.
Menurut Perdana Menteri, falsafah tertinggi Ramadan menuntut setiap jiwa kaum Muslimin untuk melihat melampaui zahir serta menyelami ruh dan batin.
Beliau berkata, puasa tidak sekadar menahan nafsu lapar dan dahaga tetapi apa yang utama adalah menunduk keangkuhan, menyanggah kezaliman dan penindasan serta meredam ketamakan.
“Ia adalah latihan ketundukan, tidak hanya kepada syariat Allah SWT tetapi kepada hakikat bahawa kita makhluk yang lemah dan Tuhan itu Maha Segala.
“Lantas, mari bersama kita menyucikan hati dari kebencian dan membersihkan akal agar terbentuk insan yang lebih adil, lebih kuat ihsannya, lebih dekat kepada Tuhan serta sesama insan,” katanya sempena ketibaan Ramadan 1446 Hijrah bermula hari ini.
Anwar turut mengingatkan umat Islam agar menjauhi pembaziran dan berusaha untuk kembali kepada Allah SWT serta mohon keampunan-Nya dalam setiap sujud agar kita semua beroleh berkah dan kesejahteraan.
Beliau turut mendoakan agar seluruh umat Islam di Malaysia diberikan kekuatan amal dan keyakinan taqwa dalam menghayati ibadah di bulan Ramadan al-Mubarak kali ini.
“Ramadan adalah madrasah tarbiah ruhiyah di mana setiap insan dididik, diuji dan dimurnikan selain menjadi tonggak penting dalam membina serta membentuk kekuatan dalaman umat.
Menurut Anwar, bulan ini juga penting dalam mengangkat dimensi sosial dan kemanusiaan dalam memupuk rasa prihatin kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.
Katanya, sewaktu kita mempunyai kesempatan beribadah, ada saudara kita yang masih berlindung di bawah runtuhan batu dan terus menjadi mangsa peluru tidak bermata.
“Di saat dunia dirempuh kegelisahan materialisme dan kehampaan spiritual, cahaya Ramadan hadir sebagai penyuluh yang menerangi hati dan akal,” katanya. – Edisi 9

