PENYERANG import sensasi Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan, berkemungkinan akan turun beraksi buat pertama kali selepas berehat panjang malam ini.
Berdepan KL City FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, pengendali TFC, Badrul Afzan diharap dapat menurunkan pemain tinggi lampai itu.
Ini kerana penyerang Croatia berusia 28 tahun itu sudah agak lama menghilang dalam senarai pemain TFC selepas berehat panjang ekoran kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim ini.
Akibatnya pasukan itu yang terdesak untuk mendapatkan pengganti, menandatangani pemain kebangsaan El Salvador, Nelson Bonilla namun pemain itu gagal memberi impak yang diharapkan.
Dan ketika Mamut yang menjaringkan 21 gol buat skuad Sang Penyu musim lalu dilihat menjalani latihan bersama pasukannya di Kuala Nerus, bagai menamatkan teka-teki terhadap pemain tersebut di bumi Pantai Timur itu.
Rata-rata penyokong TFC menzahirkan rasa gembira dengan kepulangan Mamut dan berharap dia diberi peluang untuk beraksi malam ini.
Mamut dijangka lebih menyerlah apabila bergandingan dengan Akhyar Rashid dan Ismahil Akinade atau Safawi Rasid di bahagian depan berbanding Bonilla yang setakat ini hanya menjaringkan tiga gol daripada 14 penampilan dalam semua perlawanan.
Justeru, mereka berharap pengendali ‘Coach Bad’ memberi peluang kepada penyerang import itu untuk turun beraksi dan mengembalikan semula kecemerlangannya.
Pun begitu ada juga peminat TFC melontarkan pandangan sinis kepada Mamut kerana hanya kembali ke padang latihan setelah pasukan itu terlepas peluang ke final Piala Malaysia dan gagal ke separuh akhir Shopee Piala Kelab-kelab ASEAN manakala Liga Malaysia pula sudah memasuki separuh jalan.
TFC kini berada di tangga keempat liga dengan 27 mata hasil tujuh kemenangan, empat seri dan enam kali tewas daripada 17 perlawanan setakat ini, lima mata di belakang Sabah FC di tangga ketiga. – Edisi 9

