Monday, June 15, 2026

UMNO minta henti polemikkan isu garis panduan orang Islam

Ingatan itu ditujukan khususnya kepada para pemimpin politik termasuk kalangan parti DAP, MCA dan Gerakan

Mesti Baca

UMNO hari ini menggesa semua pihak agar mengentikan polemmik dan bersaing membuat kenyataan berhubung garis panduan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan dan upacata kematian bukan Islam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ingatan itu ditujukan khususnya kepada para pemimpin politik termasuk kalangan parti DAP, MCA dan Gerakan.

Beliau berkata, perkara berkaitan hal ehwal agama seperti itu perlu diserahkan kepada pihak berautoriti untuk membahaskannya secara ilmiah.

Pada masa sama beliau berharap semua pihak menghormati kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu yang berkuasa mutlak dalam menentukan apa jua hal yang berkaitan dengan hal-ehwal dan kepentingan agama Islam.

“Semua pihak harus hormati dan terbuka dengan garis panduan penglibatan orang Islam di dalam majlis sambutan perayaan atau upacara kematian orang bukan Islam yang sedang dibangunkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, garis panduan itu penting kepada umat Islam sebagai suatu asas yang menjadi parameter dan pedoman bagi memastikan adanya pencerahan mengenai batasan tertentu dalam apa jua bentuk amalan yang melibatkan perayaan dan ritual agama agar tidak sampai menjejaskan akidah yang menjadi teras keimanan seseorang.  

Contohnya, kata beliau, tiada masalah menghadiri upacara perayaan sesuatu agama sebagai manifestasi keharmonian hidup antara agama yang diamalkan selama ini. 

Namun, batasan menyertai ibadah ritual tertentu yang boleh menjejaskan akidah seseorang perlu dijadikan panduan untuk umat Islam.  

“Garis Panduan ini juga harus dilihat sebagai suatu yang positif untuk bukan Islam supaya sensitiviti umat Islam terhadap satu-satu amalan ritual yang boleh menjejaskan aqidah dapat difahami dan dihormati,” katanya.

Garis Panduan itu juga, jelasnya, bukan bersifat peraturan atau perundangan kerana hanya sebagai pedoman dan pencerahan ilmu yang bermanfaat buat semua untuk memahami batasan dan sempadan dalam menyertai upacara perayaan dan ibadah agama lain.

Justeru, tegas beliau, tidak perlulah isu ini terus dipolemikkan kerana setiap warga Malaysia mesti teruskan budaya hormat-menghormati dan bertoleransi dalam mengamalkan agama dan budaya masing-masing yang selama ini menjadi teras kekuatan dan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk.

Sebelum ini isu tersebut menjadi polemik apabila kerajaan dilaporkan sedang mengkaji satu garis panduan baharu yang merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini berkata garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini.

Garis panduan itu, katanya adalah sebagai panduan buat orang Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.

Namun, media melaporkan beberapa pihak mengkritik cadangan itu antaranya berhubung keperluan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara terbabit tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan