KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) membuka tawaran penajaan kepada rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) di 20 universiti awam.
KPT dalam satu kenyataan berkata, penajaan itu merupakan program bawah MyBrain 2.0 dengan fasa pertama dibuka kepada orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap serta pensyarah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Kementerian itu berkata, MyBrain 2.0 merupakan kesinambungan daripada program MyBrain15 bagi menawarkan akses pendidikan lebih luas kepada semua rakyat Malaysia yang berkelayakan.
“Selaras dengan aspirasi Kerajaan dalam memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pelaksanaan MyBrain 2.0 akan memberi keutamaan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut selain bidang Sains Sosial dan Sastera Ikhtisas.
“Penajaan program MyBrain 2.0 merangkumi pembiayaan Yuran Pengajian dan Elaun Sara Hidup,” kata kenyataan KPT hari ini.
KPT berkata, kemudahan pembiayaan yang ditawarkan di bawah program tersebut merupakan satu daripada inisiatif kerajaan bagi meringankan beban kewangan pelajar di samping melahirkan graduan yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.
Katanya, permohonan untuk penajaan itu dibuka mulai hari ini sehingga 21 Ogos 2024 (Rabu) pukul 11.59 malam secara atas talian melalui Sistem Permohonan MyBrain 2.0 di pautan https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain2.
“Program MyBrain 2.0 merupakan satu platform penting dalam menyokong pembangunan modal insan negara yang mempunyai daya intelek yang tinggi serta berupaya memacu kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan material untuk merealisasikan gagasan Malaysia Madani,” katanya. – Edisi 9

