Wednesday, July 22, 2026

Mana mungkin saya berkomplot khianati parti UMNO – Nizar Najib

Mesti Baca

“MANA mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia ditubuhkan.”

Demikian ditegaskan oleh anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar Najib hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu menegaskan, tidak mungkin beliau membelot untuk mengkhianati kerajaan negeri Pahang yang diterajui seorang pemimpin yang beliau amat kasihi dan hormati, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Pertemuan dongeng ini tidak pernah berlaku sama sekali. Ayahanda Datuk Seri Najib selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti (UMNO),” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Pahang itu tampil menafikan sekeras-kerasnya desas-desus konon beliau telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk jatuhkan kerajaan negeri itu.

Menegaskan perkara itu, Nizar berkata, Wan Rosdy telah banyak membantu para pengundinya di kawasan Peramu Jaya dalam Parlimen Pekan itu.

“Mana mungkin saya seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang dan ADUN kerajaan negeri tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan.

“Saya bukan seorang katak politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjualkan’ diri kepada mana-mana pembida yang tinggi.

“Oleh itu cukup-cukuplah sebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan,”katanya sambil memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang mengecam perbuatan fitnah iaitu: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).”

Katanya, mesej beliau amat jelas iaitu beliau kekal setia bersama UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan negeri Pahang yang ada sekarang.

Sebelum ini tersebar satu hantara berbunyi: “Pahang sedang goyang. Kerajaan negeri yang baharu akan naik. Anak Bossku (Najib Razak) sudah jumpa PN (Perikatan Nasional).”

Berdasarkan Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, PN mempunyai jumlah kerusi yang sama banyak dengan BN iaitu 17 kerusi namun gagal membentuk kerajaan apabila lapan lagi kerusi dikuasai Pakatan Harapan (PH). – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan