UMNO terus membantu dan membela nasib rakyat biarpun dalam keadaan menang atau kalah kerana itulah antara perjuangan parti sejak dahulu.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, amat sukar bagi UMNO untuk berkata “tidak” jika ada rakyat yang datang memohon pertolongan dan bantuan.
“Hingga sekarang, UMNO dan Barisan Nasional masih seperti dahulu. Menang atau kalah, rakyat tetap cari UMNO/Barisan Nasional.
“Susah atau senang kita tetap bantu dan beri khidmat kepada rakyat. Inilah uniknya UMNO. Sussh nak kata tidak kepada rakyat,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abd Shukor.
Zambry berkata, UMNO bukan sebuah parti politik yang biasa-biasa telah melalui pelbagai gelombang, onak dan duri, suka dan duka.
Beliau berkata, UMNO pernah diharamkan suatu ketika dahulu serta pernah mentadbir kerajaan dan membawa Malaysia menjadi antara negara terbaik di dunia.
“UMNO juga pernah ditolak sehingga kita hanya tinggal 26 kerusi Parlimen sahaja sekarang.
“Namun, percaya atau tidak inilah susunan dan takdir oleh Allah SWT,” katanya.
Walaupun berbekalkan hanya 30 kerusi, jelas beliau, BN yang dianggotai oleh 26 UMNO, dua kerusi MCA dan masing-masing satu kerusi MIC dan PBRS, diperlukan untuk menganggotai Kerajaan Perpaduan atas titah perintah Yang di-Pertuan Agong.
Mengenai UMNO Cheras, Zambry yang juga Menteri Luar berkata, bahagian itu yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagaikan ‘cahaya.’
“Jika terang cahaya itu, maka cerahlah seluruh kawasan-kawasan lain. Sebab itu saya minta agar UMNO Cheras dan UMNO Wilayah Persrkutuan terus memastikan cahaya ini dapat diterangi semula.
“Bermula dari Cheras, Wilayah Persekutuan dan seterusnya ke kawasan-kawasan lain. Insya-Allah tiada yang mustahil.
“Kita bergerak sebagai satu pasukan. Kita perhebatkan barisan kita. Semoga UMNO terus diperkasakan,” katanya. – Edisi 9

