SALAH sebuah kapal dagang yang terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah kapal dagang lain di perairan Tanjung Balau, Sedili, Johor tetapi menghilangkan diri berjaya dikesan di perairan Pulau Tioman, Pahang.
Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kapal MT Ceres 1 itu dikesan di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman pada oukul 1.20 pagi ini.
Beliau berkata, kapal tersebut didapati sedang ditunda oleh dua buah bot tunda yang disyaki cuba membawa lari kapal berkenaan.
“Kapal peronda luar pesisir KM Pekan milik Maritim Malaysia telah berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT Ceres 1 sekitar pukul 1.20 pagi tadi dan turut menahan kedua-dua buah bot tunda terbabit yang disyaki terlibat dalam membawa lari kapal tangki MT Ceres I,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Maritim Malaysia mengesan salah sebuah daripada dua kapal dagang yang terlibat dalam pelanggaran di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau, Sedili, kelmarin kerana telah meninggalkan lokasi pelanggaran.
Zin Azman berkata, kapal MT Ceres 1 yang didaftarkan di Sao Tome & Príncipe itu didapati telah menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS) namun dipercayai masih berada dalam perairan negara.
“Maklumat dan semakan MRSC Johor Bahru bersama Jabatan Laut Malaysia turut mendapati nombor pendaftaran IMO kapal berkenaan meragukan dan tindakan kapal berkenaan meninggalkan kawasan insiden juga diragui,” katanya dalam sidang media semalam.
Kelmarin, Maritim Malaysia melaporkan tentang kejadian dua kapal dagang yang telah berlanggar di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau, Sedili, Johor kira-kira pukul 6.55 pagi.
Ekoran insiden membabitkan MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 itu, pihak Maritim Malaysia Johor telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan
menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut dengan penemuan semula kapal MT Ceres 1.
Sementara itu, beliau berkata, hasil tinjauan udara oleh amfibia Bombardier CL 415 MP milik Maritim Malaysia yang telah menjalankan tinjauan udara semalam menemui sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian.
Katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan mengenai penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat. – Edisi 9

