ENAM wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah diberikan notis terhenti sebagai ahli serta-merta hari ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, notis tersebut susulan tindakan mereka yang melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan parti.
Beliau berkata, ia selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada 7 Jun lalu dan dimaklumkan kepara Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermsyuarat semalam.
“Bagi kes Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman pula, keahlian beliau telah terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 Perlembagaan Bersatu.
“Notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar kepada beliau lebih awal iaitu pada 17 Mei 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, kesemua proses tersebut telah dilakukan dengan menepati lunas Perlembagaan parti dan perundangan negara.
Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan/atau di bawah undang-undang kerajaan negeri yang berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis MPT parti berkenaan.
Selain Dr Suhaili, mereka yang terlibat ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

