SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 20 Februari lalu yang antaranya ditujukan kepada raja-raja Melayu.
Selangor Royal Office dalam satu kenyataan berkata, kenyataan sinis Ahli Parlimen Marang itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan dengan sikap raja-raja yang tidak hanya mengejar dunia semata-mata tanpa memikirkan kehidupan akhirat sebagai tidak bersesuaian dan tidak beradab.
Katanya, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.
“Sekiranya Tan Sri Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan Baginda, Tan Sri Hadi akan dapat memahami maksud sebenar Baginda.
“Kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Menerusi kenyataan bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan yang ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim-hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Susulan itu Sultan Selangor telah berkenan mengutuskan sepucuk surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri.
Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapa baginda semasa mesyuarat MKI pada 15 Februari 2024.
Baginda menasihatkan Abdul Hadi agar lebih berhati-hati di masa hadapan supaya tidak mengulangi perbuatan menghina raja-raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.
“Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing,” kata kenyataan itu. – Edisi 9

