26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, December 14, 2024

Supalapa Festival, Yuna ubat rindu penonton Yunaverse

Mesti Baca

BAKAL mengadakan persembahan pada Supalapa Festival yang akan berlangsung di Resorts World Awana, Genting Highlands, Sabtu dan Ahad ini, penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna bakal mengubat rindu penonton Yunaverse.

Yuna, 37, berkata dia akan menghiburkan penonton selama satu jam dan persembahan kali ini bagaikan sambungan kepada show Yunaverse yang berlangsung Oktober tahun lalu.

“Ada set lagu yang sama cuma kerana masa untuk festival pendek sikit, kita cuba untuk satukan semuanya dalam masa sejam itu.

“Ada juga penari dan saya akan bawakan lagu baru serta lama. Saya akui rasa sangat teruja membuat persembahan untuk peminat di Malaysia.

“Akan ada kejutan mungkin kepada siapa yang tak pergi Yunaverse tempoh hari, ada sesuatu untuk anda. Saya tidak boleh cerita banyak, tetapi berharap akan menjadi persembahan yang menggembirakan semua orang,” katanya.

Meskipun sering mengadakan persembahan, Yuna mengakui perasaan gementar itu tetap ada.

“Setiap kali mengadakan persembahan saya pasti gementar. Sudah 15 tahun membuat persembahan dan setiap persembahan itu ada kelainan dan keunikannya sendiri.

“Saya tidak boleh samakan kerana tidak semua orang yang sama akan menyaksikan persembahan saya. Mungkin ada yang kali pertama menyaksikan persembahan saya.

“Untuk mereka yang kali pertama, saya mahu memberikan yang terbaik dan itulah yang kadang membuatkan saya gementar, tetapi selepas itu sudah okey,” katanya.

Berkongsi cara mengatasi masalah gementarnya itu, Yuna berkata, dia sering ‘warm up’ dan makan pisang sebelum membuat persembahan kerana pisang boleh membantu menenangkan diri daripada rasa gementar.

Yuna mengakui dia kini kerap pulang ke Malaysia sejak beberapa bulan lalu.

“ Saya sudah 12 tahun menetap di Amerika Syarikat. Memang banyak kali saya pulang ke Kuala Lumpur, kalau boleh mahu balik sebulan sekali.

Advertisements

“Selalunya setiap tiga bulan sekali saya akan balik dan Alhamdulillah, di KL banyak majlis dan jemputan. Disebabkan itu sejak Oktober saya kerap balik setiap bulan.

“Alhamdulillah, saya ambil vitamin, minum air, makan makanan sihat, saya okey dan sihat serta bersedia untuk memberi persembahan.

“Jika ada persembahan di Malaysia, kalau peluang itu bagus untuk saya, saya akan terima. Saya cari peluang untuk balik Kuala Lumpur dan buat persembahan di Malaysia.

“Bila ada tawaran dan memadai serta bagus untuk saya, saya akan ambil,” katanya.

Berkongsi pengalaman setiap festival muzik yang disertai, Yuna berkata, di luar negara dia suka melihat persembahan artis serta set up mereka.

“Seperti contoh Cocahella, ‘set up time’ mereka hanya 15 minit, macam mana mereka nak buat dalam masa yang diberikan dan ia berjalan lancar dan mudah.

“Itu sangat penting dan saya berharap satu hari nanti kita di Malaysia akan begitu kerana kita ada banyak bakat. Banyak penata bunyi dan teknikal yang berkebolehan dan saya akan lantik orang yang sama.

“Generasi sekarang sangat banyak yang berbakat dan saya suka lihat  cara masing-masing menguruskan persembahan juga berlainan.

“Saya pun akan buat persembahan berlainan di setiap festival. Saya perlu jadi fleksibel kalau buat persembahan di festival. Festival adalah satu tempat untuk kita belajar dan bergembira, tidak perlu tertekan untuk kelihatan sempurna,” katanya.

Yuna berkata, festival mempunyai vibes yang berbeza apatah lagi jika mendapat penonton baru mereka pastinya mahu mendengar lagu yang lebih meriah.

“Satu-satunya lagu yang saya akan nyanyikan di festival dan saya rasa best ialah Forever More. Lagu itu sangat-sangat festival untuk saya,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Jelajah Dunia Akhir BWF: Tang Jie-Ee Wei cipta sejarah

CHEN Tan Jie-Toh Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama negara beraksi di final Jelajah Dunia...

Lagi Artikel Berkaitan