26.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

Zahid garis tiga ikhtiar memperkasa ekonomi bumiputera

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tiga ikhtiar dalam usaha memperkasa bumiputera pada masa depan.

Menurut Zahid, tiga ikhtiar tersebut ialah menubuhkan Perbadanan Tanah Bumiputera, mewujudkan waqaf kesihatan dan pendidikan serta mengindustrikan pertanian.

“Ikhtiar ini saya fikirkan mampu melonjakkan agenda pemerkasaan bumiputera menjelang usia satu abad negara merdeka,” katanya dalam ucaptama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Perbaranan Tanah Bumiputera penting bagi mengekalkan pemilikan tanah bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

Beliau berkata, perbadanan ini bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

Ahmad Zahid Hamidi menggaris tiga matlamat transformasi ekonomi bumiputera.

“Adalah disyorkan, semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot-plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada Kerajaan dan diurus tadbir melalui perbadanan ini,” katanya

Beliau berkata, penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera adalah langkah proaktif untuk menjamin keseimbangan demografi kaum; mewujudkan kelangsungan kawasan usaha bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu; dan usaha tambahan mengekalkan pemilikan bumiputera.

“Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.

“Melalui perancangan teliti dan strategik, setiap kawasan usaha diharapkan memberi manfaat maksimum kepada komuniti bumiputera, mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan,” katanya.

Mengenai waqaf kesihatan dan pendidikan, langkah tersebut bagi menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berterusan kepada bumiputera.

Zahid berkata, ikhtiar itu juga sebagai usaha mendepani isu-isu kenaikan kos perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada golongan seperti asnaf, warga emas dan kumpulan sasar yang terjejas.

Katanya, bagi menterjemahkan ikhtiar ini, satu Pelan Waqaf Sihat dan Didik Bumiputera (SIDIK) dicadangkan yang bertujuan antaranya menyediakan fasiliti, peralatan dan perkhidmatan kesihatan seperti pusat dan mesin hemodialisis, khidmat penjagaan kesihatan warga emas dan lain-lain.

Advertisements
Lebih 3,000 orang menghadiri Kongres Ekonomi Bumiputera di PICC Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, SIDIK juga bertujuan menyediakan pembiayaan rawatan bagi penyakit kronik, pemerkasaan institusi pendidikan dan pusat latihan bumiputera, pendanaan biasiswa untuk anak-anak bumiputera dan memperksa program perkembangan kemahiran untuk meningkatkan keboleh pasaran tenaga kerja bumiputera.

“Marilah kita mengambil tanggungjawab bersama dalam membantu dan menyumbang di dalam menyediakan sumber tambahan melalui amalan berwaqaf untuk menjalankan program pembangunan pendidikan, kesihatan mahupun kebajikan.

“Demi kesejahteraan Bumiputera saya menganjurkan sistem caruman daripada syarikat-syarikat GLC, GLIC, Yayasan Badan Amanah dan orang perseorangan untuk bersama menjayakannya,” katanya.

Mengenai usaha mengindustrikan pertanian, Zahid berkata, ia bertujuan melibatkan bumiputera dalam sektor pertanian tanaman yang berskalanbesar serta menjamin pengeluaran sumber makana negara.

Ahmad Zahid Hamidi juga menggariskan enam tekad transformasi ekonomi bumiputera.

Beliau mengambil contoh kejayaan FELDA dan FELCRA dalam membangun dan memajukan pertanian tanaman komoditi, yang telah menjadikan negara antara pengeksport kelapa sawit dan getah terbesar dunia.

“Kita sedar sebahagian masyarakat Bumiputera tidak mempunyai tanah yang begitu besar, keluasannya juga mungkin tidak ekonomikal di samping kekangan kewangan untuk mengusahakannya.

“Namun, sekiranya tanah-tanah ini dapat disatukan dan dibangunkan secara skala besar, pastinya setiap pemilik tanah dapat memperolehi manfaat yang berterusan di samping membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat,” katanya.

Bagi menjayakannya, Zahid mencadangkan penubuhan sebuah entiti yang dapat memainkan peranan untuk mendana-i dan membangunkan tanah-tanah bumiputera atau tanah-tanah berkelompok milik bumiputera yang berpotensi untuk diusahakan dengan tanaman makanan.

Katanya, melalui ikhtiar ini, kita juga perlu menggunakan teknologi dan inovasi baharu bagi meningkatkan hasil tanaman namun pengaplikasian teknologi moden dalam pertanian memerlukan kos dan pendanaan yang tinggi bagi menjayakannya.

“Pengeluaran hasil berskala besar dan penggunaan teknologi, membolehkan penghasilan kepelbagaian produk hiliran pertanian yang mempunyai nilai tambah dan boleh dipasarkan secara komersial serta membawa keuntungan yang berganda.

“Saya percaya, melalui pendekatan yang sama, dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan, pengeluaran hasil pertanian makanan dalam negara akan dapat menampung keperluan domestik selaras dengan usaha keterjaminan makanan.

“Malah kita juga In Sha Allah berupaya menjadi negara pengeksport hasil pertanian sepertimana hasil komoditi kelapa sawit dan getah,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan