KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe membuat kejutan apabila meninggalkan kelab Gergasi Merah hari ini.
Selangor FC memaklumkan, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak beliau secara serta-merta.
Menurut kelab tersebut, keputusan Cheng Hoe yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih sebuah kelab di Thailand.
Katanya, Selangor FC juga telah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak beliau.
“Sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe telah membantu Gergasi Merah menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super pada 2023.
“Ini sekali gus memastikan Selangor FC layak secara automatik ke Liga Juara-juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025,” kata kenyataan tersebut menerusi media sosial rasmi kelab malam ini.
Ekoran keputusan tersebut, Nidzam Jamil akan menggalas tugas ketua jurulatih sementara.
Pada masa yang sama pihak pengurusan kelab akan menjalankan proses pemilihan terperinci bagi melantik ketua jurulatih baharu. – Edisi 9