Friday, June 5, 2026

Ada gerakan terancang parti lawan lemahkan Bersatu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau mendapat maklumat berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun, Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat ini dan tindakan yang lebih tegas akan diambil.

“Justeru, saya menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi Bersatu menangani perkara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tindakan dua lagi Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bercanggah dengan pendirian parti.

Katanya, ini adalah pelanggaran disiplin parti yang serius selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional (PN) .

“Berikutan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan perkembangan terbaharu ini,”katanya.

Semalam, seorang lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengikut jejak Ahli Parlimen Gua Musang daripada PN, Datuk Mohd Azizi Abu Naim sehari sebelum dan turut mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman turut mengambil tindakan sama.

Susulan itu, kedua-dua mereka masing-masing digantung keahlian selama empat dan enam tahun oleh Bersatu. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan