Wednesday, July 22, 2026

Dua premis makanan jijik diarahkan tutup

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

Kotor dan menjijikkan… Masih ada lagi pemilik premis makanan mengambil sikap sambil lewa mengenai soal kebersihan.

Kali ini, dua buah premis makanan di ibu kota dikenakan tindakan tutup serta-merta berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan dalam Operasi Sepadu Bersih yang dijalankan semalam.

Operasi berkenaan telah dilakukan di beberapa kawasan iaitu di Bandar Baru Seri Petaling, Jalan Pasai dan Jalan Radin Anum 2 (Parlimen Seputeh), Jalan Dutamas 1 dan L2 Hartamas Shopping Centre (Parlimen Segambut), Jalan Raja Muda Musa Kg. Baru dan Jalan Ampang (Parlimen Titiwangsa) dan di Jalan Landak serta Jalan Brunei (Parlimen Bukit Bintang).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan berkata, tindakan itu dikenakan selepas mendapati premis terbabit mengambil sikap sambil lewa dalam hal kebersihan.

“Dalam operasi terbabit, sejumlah 41 premis dari 64 premis yang dilawati telah diperiksa. Manakala selebihnya tidak beroperasi.

“Hasil daripada pemeriksaan, dua premis telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Sek. 11 Akta Makanan 1983 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan 28(1) WPKL 2016,”katanya.

Pada masa sama, DBKL berkata, sebanyak 57 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016, Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Saluran air di premis makanan yang diperiksa didapati kotor dan menjijikkan.

“Pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dikenakan terhadap premis-premis terbabit kerana gagal mematuhi kehendak-kehendak kesihatan seperti pemilik dan pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus pengendali makanan.

“Tidak memasang perangkap minyak; perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik menyebabkan tersumbat dan berbau; lantai dan dinding di ruang dapur kotor dan berdaki hitam.

“Selain itu, turut didapati lesen perniagaan tamat tempoh; meletakkan makanan mentah di atas lantai dan terdapat kesan hurungan najis tikus di bahagian dapur.

“Kesalahan lain yang turut dikesan adalah lorong belakang premis di jadikan tempat penyediaan makanan,”katanya,

Operasi berkenaan melibatkan kekuatan seramai 52 orang petugas dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan