FORUM Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menggesa wartawan dan organisasi media memberi keutamaan kepada empati dan belas kasihan dalam usaha mencari dan melaporkan berita.
CMCF menerusi kenyataan berkata, pelaporan berita tentang tragedi Elmina yang memaparkan gambaran grafik mangsa-mangsa dan keadaan penemuan jasad mereka baru-baru ini amat mendukacitakan.
Katanya, adalah penting pihak media menjaga keseimbangan antara memberikan butiran maklumat dan mengamalkan empati semasa melaporkan kejadian seperti ini.
“Liputan yang dibuat beberapa laporan berita selepas itu mengandungi gambaran grafik yang keterlaluan dan tidak wajar, menyebabkan tekanan dan keresahan di kalangan pembaca dan warga industri.
“CMCF tegas berpegang kepada peranan penting kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat sambil mengekalkan rasa hormat terhadap individu yang terlibat, keluarga, dan orang yang mereka sayangi,” katanya hari ini.
Tragedi Elmina mengorbankan kesemua lapan kru dan penumpang pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dalam penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang terhempas berhampiran Elmina kira-kira pukul 2.50 petang, Khamis lalu.
Selain itu, turut terkoban dua orang awam yang terdiri daripada penunggang motosikal dan pemandu kereta.
Mengulas lanjut CMCF berkata, adalah penting bagi masyarakat untuk menggunakan budi bicara ketika memilih sumber berita.
Menurutnya, memilih penerbitan yang menekankan laporan bertanggungjawab dan empati dapat menyumbang dalam memupuk masyarakat yang lebih penyayang dan harmoni.
“Sama seperti kewartawanan bertanggungjawab, perkongsian kandungan yang bijak juga memainkan peranan penting dalam memupuk empati dan mendorong wacana beretika.
“Kami menasihatkan pengguna media sosial untuk mempertimbangkan akibat perkongsian mereka terhadap individu dan keluarga yang terkesan oleh peristiwa tragis,” katanya. – Edisi 9

