PERTEMUAN dua bekas pemimpin utama negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin membincangkan hal-hal berkaitan orang Melayu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pertemuan empat mata itu telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara kami berdua.
Ujarnya, hal berkenaan Proklamasi Orang Melayu tidak disentuh secara khusus dalam perbincangan tersebut
“Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus.
“Pada dasarnya kami bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada PN khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Difahamkan, pertemuan kedua-dua pemimpin berkenaan diadakan selama hampir dua jam di kediaman Dr Mahathir di sini.
Ini merupakan pertemuan pertama mereka sejak Langkah Sheraton pada 2020 yang membawa kepada tumbangnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr. Mahathir.
Pertemuan itu turut dihadiri Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Sebelum ini Muhyiddin dan Dr Mahahir bersama-sama membentuk parti Bersatu pada 2015 selepas Ahli Parlimen Pagoh itu dipecat daripada UMNO.
Mereka kemudian membawa Bersatu menyertai PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat kali pertama. – Edisi 9

